
“Mungkin ahli Parlimen itu (Hannah) nak laporan lain, saya tidak tahu apa laporan yang diperlukan, tapi macam saya cakap lupakan apa saja perbezaan politik, yang penting saya nak ajak dia bersama fokus tangani sama-sama penularan Covid-19.
“Kalau kita bersama kita akan menang,” kata menteri kanan (keselamatan) itu pada sidang media hari ini.
Ismail berkata demikian sebagai respons terhadap kritikan Hannah yang memintanya berhenti mengadakan sidang media harian jika tiada perkara substantif untuk diumumkan, selain pengumuman tidak perlu akan menambah kekeliruan orang awam.
Hannah turut menggesa Majlis Keselamatan Negara (MKN) menyelaras dan memuktamadkan SOP sebelum membuat pengumuman besar bagi mengelak kekeliruan.
Katanya, pengumuman kerajaan mengenai arahan bekerja dari rumah melibatkan kira-kira 1 juta pekerja tidak jelas dan terlalu umum, mengakibatkan timbul ketidakpastian dalam komuniti perniagaan dan mereka yang berkeluarga.
Ismail berkata, beliau tidak boleh menghalang mana-mana pihak memberi komen termasuk pembangkang.
“Dia kan pembangkan kalau tak membangkang tak sah bagi dia, itu agaknya dia bangkang apa saja,” katanya.
Beliau berkata, sidang media harian dibuat bertujuan memaklumkan situasi terkini Covid-19 kerana rakyat ingin tahu apa dilakukan kerajaan.
“Rakyat nak tahu apa dilakukan pihak berkuasa terhadap pihak gagal patuh SOP kerana rakyat bimbang, kalau di pusat beli-belah sebagai contoh orang bimbang kalau pihak berkuasa tidak ambil tindakan kepada mereka yang gagal patuh SOP.
“Orang nak tahu apa tindakan kerajaan, kalau saya tak lapor orang anggap kerajaan tidak melakukan apa-apa terhadap mereka yang langgar SOP yang membahayakan orang ramai,” katanya.
Promosi barang
Sementara itu, Ismail turut menegaskan beliau tidak mempromosikan barangan di rak kabinet yang menjadi latar belakang sidang media hariannya di Wisma Pertahanan.
Katanya, barangan yang disusun pada rak dan kelihatan di belakangnya adalah milik Kementerian Pertahanan.
“Ini kabinet Mindef (Kementerian Pertahanan) yang memang sudah ada dan tidak akan dibuang. Saya tidak tahu apa yang hendak diletakkan di belakang. Maka, saya biarkan dan saya juga tidak mempromosikannya,” katanya.
Beliau menjawab ciapan Hannah di Twitter yang menyatakan sidang media bukan tempat untuk mempromosikan baju atau barang pameran di rak.
Sidang media Ismail sering mendapat perhatian netizen sehingga ramai yang berseloroh mahu membida setiap barangan dipamerkan di rak kabinet itu.