Sarawak lancar stesen TV milik kerajaan negeri

Sarawak lancar stesen TV milik kerajaan negeri

TV Sarawak merupakan stesen televisyen pertama milik kerajaan negeri di negara ini.

YDP Sarawak, Abdul Taib Mahmud, bersama Ketua Menteri Abang Johari Openg di pelancaran saluran televisyen milik kerajaan negeri pertama di Malaysia, TV Sarawak. (Gambar Bernama)
KUCHING:
Yang Dipertua Negeri Sarawak, Abdul Taib Mahmud, hari ini melancarkan stesen televisyen milik kerajaan negeri Sarawak, TV Sarawak (TVS), malam ini.

Ketua Menteri Abang Johari Openg ketika berucap di majlis pelancaran tersebut berkata, pelancaran itu merupakan satu lagi sejarah kejayaan untuk Sarawak dan satu mimpi jadi kenyataan untuk semua rakyat Sarawak.

TVS merupakan stesen televisyen pertama milik kerajaan negeri di negara ini dan akan menjadi platform kepada pencipta, penerbit, dan artis Sarawak untuk menunjukkan hasil kerja mereka, dan dalam masa yang sama menjadi medium komunikasi yang efektif menerusi buletin berita, program ehwal semasa, dan pelbagai jenis bicarawara.

“Saya berharap, ini akan membuka lebih banyak pintu kepada Sarawak untuk ditampilkan ke seluruh dunia,” katanya, dan menambah TVS akan disiarkan secara percubaan di Saluran 122 Astro untuk tempoh tertentu, bagi memastikan kestabilan teknikal dan gerak kerja yang mencapai standard industri.

Beliau berkata, TVS akan menyediakan lebih banyak peluang kepada rakyat Sarawak untuk cemerlang dalam pelbagai bidang menerusi kandungan dan dalam masa sama mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan untuk menyumbangkan lebih banyak hasil dalam ekosistem ekonomi digital.

Abang Johari berkata, TVS bukan sahaja menjadi platform untuk komuniti mendapatkan berita rasmi, tetapi juga menggalakkan penyatuan nasional oleh pelbagai bangsa dan budaya yang perlu dikekalkan ketika negeri Sarawak terus maju ke hadapan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.