
Bertemakan ‘Memperkasa Rakyat, Memajukan Kemakmuran, Membina Masa Depan Berdaya Tahan’, belanjawan ini mencerminkan komitmen pentadbirannya untuk mengekalkan pertumbuhan ekonomi, katanya.
Katanya lagi, belanjawan berkenaan akan memperkukuh kesejahteraan sosial dan mempercepat pembangunan selaras Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 2030 (PCDS 2030).
“Dengan unjuran perolehan sebanyak RM13.05 bilion dan jumlah perbelanjaan biasa sebanyak RM12.91 bilion, Belanjawan Sarawak 2026 dijangka menghasilkan lebihan sebanyak RM144 juta,” katanya, lapor Bernama, ketika membentangkan belanjawan di DUN.
Abang Johari berkata sejumlah RM6.1 bilion atau 66% daripada keseluruhan belanjawan pembangunan akan diperuntukkan untuk inisiatif pembangunan luar bandar termasuk jalan raya, utiliti dan projek sosioekonomi.
Beliau juga mengumumkan RM350 juta untuk Projek Transformasi Luar Bandar; RM315 juta untuk Agensi Pembangunan Wilayah; RM267 juta untuk Program Projek Khas dan RM100 juta untuk pelaksanaan Projek Rakyat.
“Belanjawan ini terus memberi keutamaan kepada program berimpak tinggi yang akan mengukuhkan ketahanan ekonomi jangka panjang Sarawak,” katanya.
Sementara itu, perbelanjaan mengurus akan menampung komitmen pentadbiran negeri yang merangkumi RM1.4 bilion untuk emolumen kakitangan, RM2.2 bilion untuk bekalan dan perkhidmatan, RM1.8 bilion untuk geran dan bayaran tetap, RM99 juta untuk perolehan aset dan RM150 juta untuk keperluan operasi lain.
Abang Johari berkata Sarawak kekal komited pada ketelusan serta disiplin fiskal, sambil memastikan pembangunan terus sampai ke setiap wilayah terutama kawasan luar bandar dan pedalaman.
Beliau menambah, Sarawak akan terus mempelbagaikan sumber hasil selain memperkukuh sektor strategik sebagai sebahagian daripada rancangan jangka panjang untuk mencapai ekonomi berpendapatan tinggi dan lestari.