
Isu penyatuan Melayu kembali membahang apabila Pemuda Umno dan PAS membangkitkan idea tentang gabungan politik antara dua parti itu boleh memulihkan semula kuasa orang Melayu yang didakwa semakin terhakis. Tuntutan ini diangkat seolah-olah penyatuan Umno-PAS sahaja mampu melahirkan sebuah pakatan politik Melayu yang dominan. Namun bagi penulis, pandangan sedemikian lebih menyerlahkan kepentingan kuasa politik sesetengah pihak daripada maksud sebenar penyatuan — ia seakan kelihatan sebagai alat untuk menyingkirkan golongan yang tidak sehaluan dan sealiran.
Bagi sesetengah pihak yang cenderung kepada penyatuan Umno-PAS — dengan pendekatan ini, ada yang melihatnya sebagai cara untuk melemahkan pesaing politik yang dianggap serius seperti Pakatan Harapan (PH). Realitinya, projek penyatuan Melayu tidak boleh ditakrifkan hanya melalui dua parti. Ia harus mendasarkan seluruh segmen masyarakat Melayu. Penyatuan yang terbatas kepada Umno dan PAS melambangkan kegagalan meraikan kepelbagaian suara dan aspirasi masyarakat Melayu dalam pembinaan sebuah negara demokrasi.
Desakan ini menjadi tumpuan apabila Ketua Pemuda Umno, Dr Akmal Saleh, menggesa partinya menarik diri daripada kerajaan campuran semasa dan kembali memakai lencana pembangkang, sambil menghidupkan semula Muafakat Nasional (MN) yang pernah runtuh beberapa tahun lalu. Namun pendirian Presiden Umno, Zahid Hamidi, memberi bayangan dan penegasan bahawa partinya akan terus kekal dalam kerajaan bersama PH. Tindakan ini menunjukkan kepimpinan tertinggi Umno memilih laluan berbeza berbanding desakan sebahagian akar umbi, seakan-akan wujudnya dua aliran dalam Umno: terus dalam kerajaan perpaduan atau kembali sebagai pembangkang.
Permasalahan utama dalam pendekatan penyatuan ini ialah penekanan yang terlalu berat kepada kuasa politik. Wacana penyatuan sebegini boleh melahirkan persepsi dominasi satu blok politik berasaskan satu kaum, bukannya membina masyarakat Melayu yang inklusif dan berdaya saing dalam sebuah negara majmuk. Bahkan pendekatan yang sempit berisiko membenihkan retorik politik identiti yang lebih menyerupai alat perebutan kuasa daripada sebuah projek sosial dan polisi jangka panjang.
Dalam hubungan ini, kita harus kembali kepada salah satu contoh rekonsiliasi nasional paling bermakna dalam sejarah politik Malaysia — pendekatan Tun Abdul Razak (1970-1976) pasca kegawatan 13 Mei 1969. Peristiwa tersebut merupakan trauma nasional yang menggoncangkan negara dan menyedarkan pemimpin akan keperluan penyatuan yang kukuh yang mesti melibatkan seluruh kaum dan semua anggota masyarakat.
Tanggungjawab dan beban itu dipikul Tun Razak, yang seterusnya melancarkan Dasar Ekonomi Baru (DEB) pada 1971 sebagai langkah untuk merapatkan jurang ekonomi antara kaum sebagai sebahagian daripada agenda besar penyatuan, perkongsian dan kebersamaan. Apa yang membedakan pendekatan Tun Razak ialah keperluan untuk rekonsilasi melangkaui garis politik dan sempadan etnik.
Barisan Nasional (BN) yang digagaskannya pada 1973 merangkumi bukan sahaja Umno (sebagai penghulu) dan PAS yang menyertainya, tetapi juga parti-parti yang mewakili pelbagai kaum, dengan tujuan membina satu kerjasama nasional untuk kestabilan dan perdamaian politik. Langkah berani ini termasuk mengundang parti bukan Melayu seperti DAP (walaupun DAP kekal sebagai pembangkang) dan Parti Gerakan yang sebelum ini merupakan seteru utama Umno — menjadi sebahagian daripada permuafakatan nasional, memaparkan aspirasi penyatuan jauh lebih luas daripada hanya mendirikan entiti politik Melayu.
Sejarah juga merakamkan parti yang menyertai kerajaan campuran dan membentuk gabungan BN turut bersepakat untuk memilih cogan kata “Sokonglah Tun Razak dan Barisan Nasional”.
Model ini contoh penyatuan politik negara selepas negara menghadapi kegawatan politik, bukan sekadar penyatuan dua parti Melayu. Malah jika dihitung, gabungan Umno dan PAS hanya memenangi 69 kerusi Parlimen, iaitu mewakili kurang 1/3 daripada jumlah keseluruhan kerusi Parlimen. Bagaimana pula dengan peranan Bersatu yang lahir daripada perpecahan Umno, Amanah yang merupakan serpihan PAS serta PKR yang berakar sebahagiannya daripada Umno dan kumpulan NGO? Bagaimana pula dengan NGO dan individu yang tidak berparti? Semua kumpulan ini kerap dikesampingkan apabila isu penyatuan Melayu disempitkan kepada dua parti Melayu sahaja.
Apatah lagi, pandangan bahawa kuasa Melayu hanya boleh dicapai melalui blok politik yang sempit menafikan realiti bahawa kerjasama yang mengiktiraf kepelbagaian kaum merupakan aspek kekuatan negara.
Dasar seperti DEB, yang menjadi teras keseimbangan ekonomi selepas 13 Mei, itu bukan setakat memperbaiki jurang ekonomi Melayu — ia juga membuka ruang kepada penyertaan mereka dalam sektor ekonomi yang pelbagai dan dapat mengurangkan ketegangan struktur sosial yang sering menjadi faktor perpecahan dan perbalahan kaum. Tanpa penyelesaian kepada ketidakseimbangan struktur ekonomi, sebarang seruan untuk penyatuan Melayu sahaja tidak akan menghasilkan kesatuan yang tulen!
Tidak dinafikan bahawa konteks politik hari ini jauh berbeza daripada era Tun Razak. Umno tidak lagi memegang monopoli kuasa Melayu seperti dahulu. Parti Melayu berpecah adalah realiti yang sedang dihadapi dan landskap pilihan raya kini lebih kompetitif. Model penyatuan Tun Razak bukannya untuk ditiru secara literal, diambil dan diacukan sepenuhnya, tetapi roh dan semangat kepimpinannya tetap relevan yang boleh dipelajari oleh pemimpin politik masa kini. Kenyataan ini memerlukan pendekatan dan wacana baru tentang penyatuan Melayu — bukan sekadar mengikat dua parti Melayu tertentu dan memilih kumpulan yang disukai atau tidak!
Penyatuan bukan sahaja tentang perpaduan Melayu, tetapi perpaduan Malaysia secara keseluruhan — dibina melalui dasar yang menyatukan rakyat melalui kerangka ekonomi, pendidikan dan pembangunan sosial. Projek Tun Razak boleh dirumuskan sebagai jemputan kepada semua pihak, merapatkan jurang ekonomi dan memimpin secara konsensus. Rencana Tun Razak boleh menjadi rujukan dan panduan strategik bagi pemimpin sekarang yang perlu bertolak ansur dalam suasana politik kaum yang semakin mencabar.
Penyatuan Melayu yang tulen bukan hanya tentang pakatan politik yang dibentuk, tetapi pembentukan kolektif yang membolehkan masyarakat Melayu memimpin menerusi kekuatan ekonomi, limpahan dasar yang menguntungkan serta daya intelektual — bukan semata-mata melalui dominasi jumlah kerusi yang boleh dimenangi dalam Parlimen.
Hari ini 14 Januari, genap 50 tahun pemergian Tun Razak — seorang negarawan yang bukan sahaja memperjuangkan penyatuan Melayu, tetapi juga penyatuan Malaysia serta digelar ‘Bapa Keamanan’ yang berjaya mengeluarkan negara daripada zaman genting.
Sejarah kepimpinannya menyediakan panduan penting kepada kita. Persoalannya kini adakah pemimpin negara berani mengikuti rencana beliau dalam menghadapi konteks politik yang semakin dinamik yang menuntut kebijaksanaan mengolah semula makna penyatuan Melayu.
Seandainya para pembesar negara hari ini mampu mengadapatasi beberapa nilai dan falsafah Tun Razak — menyatukan Melayu dalam kerangka jambatan penghubung sambil mengajak seramai mungkin pihak termasuk parti bukan Melayu dan bekas seteru politik untuk bekerjasama — barulah penyatuan bukan sekadar cakap berapi-api di atas pentas, tetapi sebuah impian Malaysia yang memberi impak kepada kestabilan dan perpaduan negara.
Mohd Azizi Jaeh dan Muhammad Helmi Othman adalah pemerhati politik berkelulusan sarjana sains politik dari Universiti Kebangsaan Malaysia.
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.