
Katanya, politik akan terus terdedah kepada ketidaktelusan, persepsi salah guna kuasa, serta kebergantungan pada sumber kewangan yang tidak dapat diaudit secara terbuka dan berinstitusi, tanpa kerangka perundangan jelas.
Menurutnya, akta itu berfungsi sebagai mekanisme pencegahan terhadap rasuah politik, penggunaan dana daripada sumber meragukan, serta amalan pembiayaan tidak sah yang boleh mencemar legitimasi pilihan raya dan institusi politik negara.
“Akta khusus mengenai pendanaan politik dan pembiayaan kempen pilihan raya amat penting bagi memastikan ketelusan dalam penerimaan sumbangan kepada parti politik, calon dan jentera kempen.
“Ia bukan sahaja bertujuan untuk mengawal aliran dana, tetapi untuk membina sistem kepercayaan awam terhadap proses demokrasi itu sendiri,” katanya kepada FMT, mengulas kenyataan Ketua Wanita Umno, Noraini Ahmad, partinya mesti menjadi pelopor untuk pastikan Akta Pendanaan Politik diwujudkan.
Noraini berkata, akta itu sebahagian usaha membina sistem politik yang adil dan matang, dan memerlukan iltizam politik tinggi dan progresif.
Pada Februari tahun lalu, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Azam Baki, turut mencadangkan penggubalan akta itu disegerakan dengan fokus kepada pendanaan ketika kempen pilihan raya.
Mengulas lanjut, Hisommudin berkata seruan pemimpin parti kerajaan itu perlu disusuli komitmen, bukan sekadar kenyataan normatif.
Katanya, tempoh yang masih berbaki sebelum PRU16 harus dimanfaatkan sepenuhnya untuk membawa Akta Pendanaan Politik ke Parlimen.
Sementara itu, Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri dari Global Asia Consulting berkata, semua parti tanpa kecuali perlu terlibat dalam penggubalan akta berkenaan, kerana ‘kredibiliti’ undang-undang tersebut akan dipersoalkan jika garis panduan ditentukan oleh parti dominan.
“Inklusiviti bukan sekadar formaliti, tetapi syarat mutlak untuk memastikan rakyat percaya bahawa undang-undang ini bukan alat politik, sebaliknya benteng menentang korupsi,” katanya.
Berhubung desakan Noraini, Zaharuddin berkata langkah itu peluang untuk Umno membuktikan komitmen pada politik bersih, serta memimpin reformasi.
“Mekanisme wajib seperti pendedahan awam sumber dana, audit bebas dan had sumbangan adalah garis pemisah antara dana sah dan rasuah,” katanya.