
Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) berkata walaupun Umno kini hanya mempunyai 25 kerusi Parlimen, parti itu berpeluang bertanding di lebih banyak kawasan jika Barisan Nasional (BN) kekal bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH).
Menurutnya, Umno, PAS dan Bersatu menyasarkan kawasan majoriti Melayu yang sama dan keadaan itu menimbulkan persoalan sama ada parti menjadi tonggak kepada Perikatan Nasional (PN) sanggup beri laluan.
“Saya melihat BN lebih yakin bekerjasama dengan PH kerana Umno berpeluang bertanding di lebih banyak kerusi majoriti Melayu serta mendapat sokongan lebih stabil di pantai barat dan selatan Semenanjung yang mempunyai jumlah kerusi Parlimen lebih besar.
“Hakikatnya, Umno mahukan lebih daripada 40 kerusi. Secara jujur, Umno mungkin mahu kembali dominan dengan sasaran sekitar 80 kerusi,” katanya kepada FMT.
Ketua Penerangan PAS Ahmad Fadhli Shaari pada 20 Jan lalu berkata Umno berpotensi memenangi lebih 40 kerusi Parlimen jika menyertai cadangan ‘gabungan besar’ atau inisiatif “Rumah Bangsa” bersama PN.
Kenyataan itu dibuat susulan ucapan Presiden Umno Zahid Hamidi yang menyentuh agenda penyatuan Melayu pada perhimpunan agung Umno minggu lalu, yang dilihat selari dengan perbincangan bersama pemimpin PAS dan Bersatu.
Namun, Zahid menegaskan Umno tidak berniat untuk menjatuhkan kerajaan perpaduan sedia ada.
Azmi Hassan dari Akademi Nusantara pula berpandangan Umno tidak akan mudah terpengaruh dengan kenyataan Fadhli, sambil menegaskan parti itu bukan mudah diperdaya.
Bagaimanapun, beliau berkata Umno berkemungkinan mendapat lebih manfaat daripada pemindahan undi penyokong PN berbanding PH, memandangkan penyokong PH sebelum ini dilihat enggan menyokong BN walaupun kedua-dua gabungan itu bekerjasama.
“Bagi penyokong PN, walaupun belum diuji sepenuhnya, secara teori saya percaya pemindahan undi boleh berlaku,” katanya.
Dengan Zahid masih belum mendedahkan pendirian sebenar, Azmi menjangkakan Umno hanya akan mengumumkan rakan gabungan bagi PRU16 selepas Parlimen dibubarkan.
Menurutnya, BN juga dijangka berusaha mengelakkan pertembungan tiga penjuru bagi mengelakkan perpecahan undi.
Azmi turut memberi amaran PH terpaksa menyusun semula strategi politiknya sekiranya Umno memilih untuk bekerjasama dengan PN selaras agenda penyatuan Melayu yang dibawa Zahid.