Auku sering disalah faham, kata Zambry

Auku sering disalah faham, kata Zambry

Menteri kata akta tersebut turut mengawal selia penubuhan universiti awam, namun Putrajaya terbuka untuk meminda peruntukan yang dipertikaikan.

zambry abdul
Menteri Zambry Abdul Kadir kata kementerian terbuka untuk semak semula Auku, menyifatkannya sebagai undang-undang dinamik yang mesti berkembang mengikut realiti semasa. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) sering disalah faham sebagai sekadar menyekat kebebasan pelajar, kata Menteri Pendidikan Tinggi, Zambry Abdul Kadir.

Zambry berkata Auku juga merupakan kerangka undang-undang utama yang mengawal selia penubuhan dan pentadbiran universiti awam, namun menegaskan kerajaan tetap terbuka untuk meminda peruntukan yang dipertikaikan dalam akta tersebut.

Beliau beritahu Dewan Rakyat bahawa undang-undang itu sering hanya dilihat dalam konteks kebebasan pelajar, malah sejak zaman beliau di universiti lagi.

“Tetapi Auku satu-satunya perundangan yang berfungsi sebagai sumber kuasa utama bagi penubuhan, penyelenggaraan dan pentadbiran 18 buah universiti,” katanya.

Beliau berkata akta tersebut membentuk asas kepada penciptaan dan operasi universiti awam, kecuali Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) yang mempunyai undang-undang tersendiri.

Zambry berkata kerajaan tidak berpeluk tubuh mengenai Auku, menunjukkan bahawa undang-undang itu dipinda beberapa kali selama bertahun-tahun susulan perdebatan dan kontroversi yang berlarutan.

“Pindaan demi pindaan telah dilakukan. Pindaan 2012 merupakan titik permulaan bagi memperkasakan pelajar,” katanya, dan menambah perubahan lanjut dibuat pada 2019 dan terbaharu pada tahun lepas.

“Pindaan terbaharu, yang kita bahaskan di Dewan ini pada 27 Jun tahun lepas, melibatkan kebenaran untuk mengutip dan menerima dana, perkara berkaitan majlis perwakilan pelajar, pengurusan dana, dan pemakaian peruntukan kepada badan pelajar,” katanya.

Beliau berkata pindaan ini tidak dibuat secara unilateral oleh Putrajaya tetapi hasil daripada libat urus dengan pelajar dan wakil mereka.

Zambry berkata kementerian terbuka untuk menyemak semula Auku, menyifatkannya sebagai undang-undang dinamik yang mesti berkembang mengikut realiti semasa.

“Ia akta yang dinamik dan kita boleh menyemak semula proses tersebut jika terdapat jurang atau aspek yang boleh diperbaiki lagi,” katanya.

Beliau berkata Auku harus dinilai semula dalam konteks hari ini, terutama dalam mentakrifkan kebebasan pelajar.

Menurutnya, kebebasan pelajar kini melangkaui aktivisme kepada penyertaan akademik, ekspresi kampus, dan menyumbang kepada pembangunan universiti.

Pagi tadi, seramai 40 pelajar yang mewakili lebih 30 kumpulan pelajar berarak ke Parlimen untuk menuntut kerajaan memansuhkan Auku secara keseluruhan.

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Adam Adli, yang juga merupakan bekas aktivis pelajar, menerima salinan memorandum mereka dan berkata Putrajaya akan mengambil langkah yang ‘perlu’.

Tajuk kecil: Tiada kuasa mutlak lantik NC

Dalam pada itu, Zambry menolak dakwaan bahawa menteri pendidikan tinggi mempunyai kuasa mutlak untuk melantik naib canselor (NC) universiti mengikut kehendak sendiri.

Beliau berkata pelantikan dibuat berdasarkan nasihat daripada jawatankuasa dan selepas rundingan dengan lembaga pengarah universiti.

Zambry juga menyatakan beliau tidak pernah menolak cadangan yang dikemukakan oleh jawatankuasa pemilihan sejak memegang jawatan.

“Sepanjang dua tahun saya sebagai menteri, saya tidak pernah sekalipun menolak cadangan yang dikemukakan oleh jawatankuasa pemilihan naib canselor,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.