
Dakwaan Warisan sebagai parti yang mempertahankan hak dan kepentingan Sabah sebenarnya perlu dilihat dengan penuh keraguan.
Malah, jika dilihat kepada tindakan mereka semasa memerintah Sabah dari Mei 2018 hingga September 2020, lebih sesuai jika dakwaan itu perlu dinilai dengan rasa sangsi.
Pentadbiran Shafie Apdal disifatkan sebagai satu siri kesilapan besar yang bercanggah dengan imej yang cuba dibina Warisan hari ini.
Pertama, Shafie, anak saudara kepada bekas ketua menteri Allahyarham Sakaran Dandai, telah melantik dua orang sekutunya ke jawatan penting dalam kerajaan Persekutuan, namun langkah itu akhirnya memakan diri.
Azis Jamman dilantik sebagai timbalan menteri dalam negeri, manakala mendiang VK Liew memegang portfolio berkaitan undang-undang.
Azis, masih perlu menjelaskan mengapa berlaku kebakaran di sekurang-kurangnya 10 kawasan setinggan di seluruh Sabah dalam tempoh enam bulan selepas Warisan mengambil alih pentadbiran.
Susulan itu, timbul juga dakwaan jumlah pendatang tanpa izin yang berjaya mendapatkan dokumen secara meragukan meningkat dan isu iu dikatakan menjadi faktor yang menjejaskan prestasi Warisan pada pilihan raya negeri lalu.
Satu lagi bencana ialah pengendalian kes tuntutan timbang tara di Eropah melibatkan individu yang mendakwa sebagai waris Kesultanan Sulu.
Kos guaman dan bayaran berkaitan kes itu sahaja mencecah RM36,000 (2019), RM167,000 (2020), RM8.2 juta (2021), RM13.5 juta (2022) dan RM5.4 juta (2023), melibatkan prosiding di empat negara iaitu Sepanyol, Perancis, Luxembourg dan Belanda.
Jika bukan kerana kebijaksanaan menteri undang-undang sekarang, Azalina Othman Said, jumlah kerugian mungkin lebih besar.
Selain itu, Mohamaddin Ketapi yang memegang jawatan menteri pelancongan, kesenian dan kebudayaan ketika itu turut dikritik kerana gagal menunjukkan prestasi memuaskan.
Warisan juga dipersoalkan mengapa hanya mampu mendapatkan geran khas Persekutuan sebanyak RM53.4 juta untuk Sabah sepanjang tempoh pemerintahannya.
Jika benar mereka berkempen dengan slogan “Sabah untuk rakyat Sabah’, mengapa Warisan bertanding lebih 20 kerusi Parlimen di Semenanjung pada pilihan raya umum lalu?
Keputusan itu mungkin berpunca daripada impian Shafie untuk menjadi perdana menteri.
Persoalan turut timbul mengapa Darell Leiking digugurkan pada saat akhir untuk mempertahankan DUN Moyog, yang dilihat sebagai usaha menyingkirkan pemimpin utama Kadazan dalam parti itu.
Rakyat Sabah diharap tidak mudah terpengaruh dengan apa yang disifatkannya sebagai tindakan bersifat sandiwara dan dakwaan kosong Shafie serta rakan-rakannya.
Jeffri Saling adalah pembaca FMT.
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.