Tuntutan PH, pakatan Warisan-Umno uji kesabaran rakyat Sabah?

Tuntutan PH, pakatan Warisan-Umno uji kesabaran rakyat Sabah?

Menjelang PRN ke-17, dua pakatan politik kini menguji kesabaran rakyat Sabah yang semakin letih dengan pengaruh luar dan sikap pemimpin mudah berubah.

Kerjasama politik bukan perkara baharu di Malaysia. Dengan pengundi semakin berpecah, pembentukan gabungan menjadi keperluan bagi mana-mana parti untuk kekal relevan.

Di Sabah, suasana politik yang sesak menjadikan kawan mudah menjadi lawan — dan sebaliknya — dalam sekelip mata, biasanya kerana kepentingan jangka pendek, bukan kerjasama tempoh panjang.

Gabungan sebegini sering berakhir dengan pengkhianatan, membuatkan pengundi kecewa dan hilang kepercayaan apabila janji tidak ditepati.

Terbaharu, Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Maju Sabah (SAPP) keluar daripada Gabungan Rakyat Sabah (GRS), satu lagi episod dalam sejarah politik Sabah yang tidak pernah sunyi.

Pada Januari 2023, rakyat menyaksikan percubaan Umno Sabah diketuai Bung Moktar Radin menggulingkan kerajaan GRS pimpinan Hajiji Noor ketika parti itu menjadi sebahagian pemerintah.

Warisan juga tidak asing dengan pergolakan politik seperti ini. Pada 2020, parti pimpinan Shafie Apdal itu berpisah daripada Pakatan Harapan (PH) selepas tersingkir daripada kerajaan negeri.

Namun gabungan menggantikannya — melibatkan Perikatan Nasional (PN), Umno dan Parti Bersatu Sabah (PBS) — juga tidak bertahan lama, runtuh seiring kejatuhan kerajaan pusat pimpinan Muhyiddin Yassin.

Kini, menjelang pilihan raya negeri ke-17, kesabaran rakyat Sabah sekali lagi diuji.

Dari mana datangnya keyakinan PH?

PH Sabah – diketuai Ewon Benedick dari Upko yang turut dianggotai PKR serta DAP— hanya memegang tujuh kerusi dalam DUN sebelum ini.

GRS menawarkan 18 daripada 73 kerusi untuk ditandingi, tetapi PH mendesak mahu 23 DUN, sekali gus menegangkan hubungan dengan sekutunya.

Pada pilihan raya 2020, PKR hanya menang dua daripada lapan kerusi ditandingi, manakala DAP menang enam tetapi dua wakilnya berpaling tadah.

Upko pula yang menyertai PH setahun selepasnya hanya menang satu daripada 12 kerusi. Sejak itu, komponen itu dilihat tidak banyak berkembang di Sabah.

Desakan PH menambah kerusi juga boleh dianggap sebagai cubaan ‘campur tangan pusat’, sesuatu yang berisiko menimbulkan kemarahan rakyat Sabah yang semakin kuat dengan semangat ‘Sabah For Sabahans’.

Pertikaian ini bukan sekadar soal jumlah kerusi, tetapi soal identiti dan maruah. Permintaan PH boleh dianggap tidak sensitif terhadap sentimen tempatan.

Penganalisis memberi amaran parti berasaskan Semenanjung yang menuntut lebih pengaruh boleh menjauhkan pengundi Sabah yang mahu menolak dominasi persekutuan yang berselindung di sebalik perkongsian kuasa.

Sebaliknya, GRS di bawah pimpinan Hajiji membina imej kestabilan, menjauhkan diri daripada drama politik dan retorik berlebihan.

Selepas STAR dan SAPP keluar, gabungan itu kini terdiri daripada Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS), PBS, Parti Harapan Rakyat Sabah, Parti Cinta Sabah (PCS), Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO) dan Parti Liberal Demokratik (LDP).

Gabungan itu menumpukan kepada tadbir urus berbanding permainan politik, sekali gus menarik keyakinan pelabur dan mewujudkan suasana tenang dalam negeri yang sering bergolak.

Warisan–Umno: Gabungan yang berisiko?

Jika keyakinan PH menimbulkan tanda tanya, keakraban semula Warisan dengan Umno pula mengundang bantahan di kalangan rakyat tempatan.

Shafie menegaskan partinya akan bertanding secara bersendirian, tetapi khabar angin tentang kemungkinan kerjasama semula selepas pilihan raya semakin kuat — sesuatu yang membuat pengundi berhati-hati.

Warisan, yang kini mempunyai 14 kerusi, bercita-cita mahu mencapai majoriti dua pertiga, namun itu sukar dicapai tanpa sekutu.

Kerjasama semula dengan Umno mungkin satu-satunya jalan, tetapi langkah itu berisiko membuka luka lama.

Episod ‘Langkah Kinabalu’— cubaan Warisan dan Umno untuk menumbangkan kerajaan GRS — berakhir dengan kegagalan dan pertelingkahan dalaman.

Ketika ditubuhkan pada 2016, Warisan tampil sebagai suara bebas Sabah, berjanji memperjuangkan autonomi dan menolak pengaruh Umno yang dianggap mengabaikan negeri itu.

Jika kini kembali bekerjasama dengan Umno, mesej itu boleh menjadi kabur dan menimbulkan persoalan sama ada Warisan masih teguh dengan slogan baharunya ‘Selamatkan Sabah’.

Pilihan sebenar rakyat

Sekali lagi, pengundi Sabah berdepan pilihan: sama ada gabungan GRS–PH yang stabil dan berasaskan kompromi, atau percubaan kerjasama semula Warisan–Umno yang penuh risiko.

Rakyat Sabah kini lebih berhati-hati dan tidak mudah percaya pada janji besar atau slogan kosong. Mereka mahukan kestabilan — sesuatu yang hanya boleh dibina atas dasar kepercayaan, ketelusan dan komitmen sebenar terhadap autonomi Sabah.

Pengundi mahu pemimpin yang mampu membaiki jalan, memastikan bekalan elektrik dan air bersih, menarik pelaburan, mencipta peluang pekerjaan dan menaik taraf kemudahan asas.

Pilihan raya kali ini bukan semata-mata tentang parti yang menang paling banyak kerusi, tetapi mereka yang mampu meraih serta mengekalkan kepercayaan rakyat Sabah selepas undi dikira.

 

Minderjeet Kaur adalah wartawan kanan di FMT.

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.