
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Armizan Ali, berkata komitmen peruntukan yang diumumkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2026 semalam amat penting bagi menyelesaikan isu legasi itu bersama kerajaan Sabah.
Beliau berkata jumlah itu meliputi RM880 juta subsidi sokongan tarif, subsidi bahan api dan subsidi solar berskala besar iaitu peningkatan berbanding RM700 juta yang diperuntukkan bagi 2025.
“RM189.8 juta diperuntukkan di bawah projek-projek Bekalan Elektrik Luar Bandar di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah.
“RM128 juta diperuntukkan untuk melaksanakan projek-projek sambungan bekalan elektrik yang dilaksanakan oleh Pasukan Projek Khas Bekalan Elektrik Sabah di bawah Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air,” katanya kepada pemberita.
Armizan berkata komitmen berkenaan membuktikan kerajaan persekutuan mahu menyelesaikan isu legasi ketidakstabilan bekalan elektrik di Sabah, sungguhpun kuasa kawal selia tenaga diambil alih oleh kerajaan negeri bermula 2024.
Selain itu, peruntukan disalurkan bagi memenuhi komitmen kerajaan persekutuan untuk membantu menyelesaikan isu air melalui peruntukan sejumlah RM1 bilion bermula 2024 hingga 2026.
“Ini meliputi projek air Sabah antaranya pemasangan paip di Tawau serta naik taraf paip usang di Kota Kinabalu, Penampang dan Putatan.
“Projek ini dalam fasa pelaksanaan dan dijangka siap tahun hadapan,” katanya.