Dua Adun Umno digantung mahu tanding tiket GRS, kata Hajiji

Dua Adun Umno digantung mahu tanding tiket GRS, kata Hajiji

Pengerusi GRS berkata, beliau tidak halang memandangkan kedua-dua Shahelmey Yahya dan Andi Muhammad Suryady Bandy merupakan pemimpin.

Shahelmey Yahya (kiri) dan Andi Muhammad Suryady Bandy digantung keahlian Umno kerana menyokong Hajiji Noor sewaktu cubaan menggulingkannya sebagai ketua menteri.
PETALING JAYA:
Dua Adun Sabah yang digantung Umno kerana menyokong Hajiji Noor sewaktu cubaan menggulingkan kerajaannya pada 2023 dilaporkan berhasrat bertanding atas tiket Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada PRN akan datang.

Hajiji yang juga pengerusi GRS berkata, Shahelmey Yahya dan Andi Muhammad Suryady Bandy telah menyuarakan hasrat untuk mewakili gabungan itu atau bertanding menggunakan tiketnya.

“Saya tiada halangan kerana kedua-duanya pemimpin, seorang menteri dan seorang lagi pembantu menteri,” katanya, lapor The Borneo Post.

Beliau berkata, pengumuman rasmi mengenai kedudukan mereka akan dibuat pada waktu yang sesuai.

Shahelmey, yang juga Ahli Parlimen Putatan, menang kerusi DUN Tanjung Keramat pada 2020 atas tiket Barisan Nasional (BN).

Beliau kini menyandang jawatan timbalan ketua menteri III dan menteri kerja raya dalam Jemaah Menteri negeri sementara.

Andi pula memenangi kerusi DUN Tanjung Batu dan kini menyandang jawatan pembantu menteri pembangunan perindustrian dan keusahawanan dalam Jemaah Menteri negeri sementara.

Shahelmey dan Andi adalah antara tujuh Adun Umno yang menyokong Hajiji ketika cubaan menyingkirkannya sebagai ketua menteri pada 2023, selepas beliau hilang sokongan majoriti.

Keahlian mereka kemudiannya digantung oleh parti itu.

Bulan lepas, Hajiji memberi isyarat bahawa Shahelmey akan bertanding sebagai calon GRS dan yakin beliau mampu mempertahankan kerusinya pada PRN, yang dijangka berlangsung dalam beberapa minggu lagi.

Rundingan kerusi masih berjalan

Hajiji berkata, GRS belum memuktamadkan senarai calonnya untuk PRN akan datang, sambil menyatakan ‘hari penamaan calon masih lambat lagi’.

DUN Sabah dibubarkan pada 6 Okt dan pilihan raya mesti diadakan dalam tempoh 60 hari, dengan tarikhnya akan ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya.

Hajiji berkata, rundingan dengan Pakatan Harapan (PH) mengenai agihan kerusi masih berjalan, susulan pertemuan dengan Setiausaha Agung PH Saifuddin Nasution Ismail baru-baru ini.

Mengulas laporan PH menuntut lebih 20 kerusi, Hajiji menyifatkan ia perkara biasa dalam mana-mana gabungan, namun menurutnya, PH dan GRS haruslah bersikap praktikal.

“GRS minta kawasan yang kita berpeluang cerah untuk menang, untuk jamin kemenangan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.