
Tahun ini genap 59 tahun sejak Rancangan Malaysia Pertama (RMK-1) dilancarkan — ketika negara masih muda dan ekonomi luar bandar masih bertatih mencari cahaya. RMK-1 yang berlangsung antara 1966 hingga 1970 hadir dengan impian besar: membasmi kemiskinan, memperkukuh perpaduan, membangunkan wilayah pedalaman termasuk Sabah dan Sarawak, serta mempelbagaikan sumber ekonomi negara yang ketika itu masih bergantung kepada getah dan bijih timah.
Ia bukan sekadar pelan pembangunan lima tahun. Ia adalah cerminan cita-cita awal sebuah negara yang merdeka — bahawa kemerdekaan politik mesti diterjemahkan menjadi kemerdekaan sosial dan ekonomi. Ia adalah janji bahawa tiada rakyat yang akan tertinggal, bahawa kemajuan negara akan dirasai sampai ke kampung nelayan dan dusun pedalaman.
Kini, pada 31 Julai 2025, Perdana Menteri Anwar Ibrahim akan membentangkan buat kali pertama Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13). Ia bukan sekadar pembentangan rutin lima tahun sekali, tetapi momen penting bagi seorang pemimpin yang sekian lama dikenali melalui wacana dan idealisme — dan kini duduk di kerusi utama untuk merealisasikannya.
Persoalan penting pun timbul: selepas dua belas rancangan berlalu, sudahkah impian asal itu tercapai? Atau kita hanya terus menulis pelan pembangunan, satu demi satu, sementara rakyat masih menanti untuk merasa?
Antara kertas dan kenyataan
Dalam dokumen rasmi dan pembentangan Parlimen, setiap RMK kelihatan megah. Dari RMK-2 hingga RMK-12, kita melihat pelbagai inisiatif besar: pembinaan Lebuhraya Utara-Selatan, pengenalan Dasar Ekonomi Baru (DEB), pelancaran Multimedia Super Corridor (MSC), pembangunan koridor wilayah, serta agenda digitalisasi dan IR 4.0.
Namun, dalam perbualan di warung kopi dan ruang menunggu klinik kerajaan, cerita yang didengar selalunya jauh dari gilang-gemilang angka. Ramai rakyat biasa melihat RMK sebagai sesuatu yang jauh — dokumen tebal yang tidak menyentuh poket mereka, tidak menyentuh dapur mereka, tidak menyentuh hidup mereka.
Klinik Kesihatan Semenyih: Contoh di tepi mata
Saya sendiri melihat satu contoh yang dekat di hati berhampiran kediaman saya — Klinik Kesihatan Semenyih. Projek ini diluluskan semasa RMK-11 (2016–2020) dalam kategori roboh dan bina semula, namun kerja fizikalnya hanya bermula pada Julai 2022 — dua tahun selepas tempoh rancangan itu berakhir.
Kini, projek itu dijangka siap dalam tempoh RMK-13 (2026–2030). Apa yang sepatutnya menjadi inisiatif dalam satu fasa perancangan lima tahun akhirnya melintasi tiga fasa RMK, sebelum hasilnya sampai kepada rakyat.
Klinik lama itu sesak, sempit, dan tidak lagi sesuai untuk populasi yang semakin bertambah. Bayangkan ibu mengandung, warga emas dan kanak-kanak terpaksa menunggu berjam-jam dalam ruang rawatan terbuka — sementara kita membaca pelan-pelan pembangunan negara yang menjanjikan kemajuan.
Apa yang tercicir dalam 12 RMK
RMK bukan tidak memberi hasil. Ramai yang mendapat manfaat, negara berubah wajah. Namun kita perlu jujur — tidak semua mendapat bahagian yang saksama. Masih ada kawasan yang jauh dari capaian internet. Masih ada kampung yang bekalan airnya terputus-putus. Masih ada golongan miskin bandar yang terpinggir daripada sebarang bantuan kerana tiada alamat tetap atau dokumentasi lengkap.
Ada pelan untuk bandar pintar, tetapi masih banyak sekolah daif. Ada agenda teknologi tinggi, tetapi masih ramai graduan menganggur. Kita tidak boleh terus berbangga dengan angka pertumbuhan jika angka itu tidak diterjemahkan dalam bentuk makanan atas meja rakyat.
Dari impian ke harapan
RMK13 dijangka membawa pelan negara ke tahun 2030 — dan ini adalah peluang penting bagi kerajaan untuk memperbetulkan arah. Rakyat tidak lagi mahu mendengar frasa ‘penyampaian berkesan’ tanpa hasil yang benar-benar sampai.
Kita tidak perlukan slogan baharu. Kita perlukan penyelesaian jujur dan terukur terhadap masalah lama:
- Harga barang yang makin mencengkam
- Sistem kesihatan awam yang sesak dan tidak cukup sumber
- Peluang pekerjaan sebenar yang tidak sekadar ‘gig ekonomi’
- Pendidikan tinggi yang masih membebankan
- Perumahan yang tidak mampu dibeli walaupun bergelar ‘mampu milik’
RMK-13 perlu menjawab persoalan ini — bukan dengan janji baharu, tetapi dengan pelaksanaan yang lebih cekap dan empati lebih dalam.
Untuk siapa, dari siapa?
Kita sering dengar RMK disusun hasil dapatan daripada sesi libat urus, forum akademik, dan maklum balas pelbagai sektor. Namun, benarkah suara rakyat biasa diambil kira? Adakah suara dari kampung, dari lorong flat, dari pasar tani turut masuk ke dalam laporan rasmi?
Rakyat tidak mahu menjadi objek dalam rancangan. Mereka mahu menjadi subjek — suara yang didengar, nasib yang ditimbang.
Rakyat tidak mahu janji, kami mahu rasa
Pada akhirnya, pelan lima tahun tidak diukur melalui grafik di slaid ‘PowerPoint’. Ia diukur melalui poket yang sedikit lega. Melalui anak yang tidak perlu berhenti sekolah kerana yuran. Melalui ibu yang tidak lagi pengsan kerana menunggu ubat tiga jam. Melalui pekerja yang bangga dengan kerja tetap, bukan gig yang tiada jaminan.
RMK bukan dokumen untuk tepukan di Parlimen. Ia mesti menyentuh meja makan rakyat. Ia mesti terasa dalam jarak harian, bukan hanya dalam ucapan rasmi.
Merdekakan rakyat dalam rancangan
Menjelang Hari Kebangsaan ke-67, kita mengimbas semangat awal RMK-1, untuk membasmi kemiskinan, membina perpaduan dan mengangkat rakyat. Mungkin kini sudah tiba masa untuk kita merdekakan rakyat daripada beban sistem yang perlahan dan lembab.
RMK-13 tidak harus menjadi hanya sambungan dokumen terdahulu — ia mesti menjadi titik perubahan. Peluang untuk membuktikan bahawa rancangan negara bukan sekadar laporan yang dibaca menteri, tetapi arah yang diterjemahkan menjadi tindakan.
Kerana akhirnya, kita semua bukan menunggu kertas perancangan. Kita menunggu perubahan yang terasa, dan untuk itu RMK-13 mesti bermula bukan di atas kertas tetapi dari hati.
Mohamed Nasser Mohamed ialah karyawan dan editor perunding terbabit dengan lebih 150 penerbitan sejak 2008.
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.