‘Pai ulung’ dan strategi PRN Sabah

‘Pai ulung’ dan strategi PRN Sabah

Bung Moktar Radin pasti mahu elak silap strategi terutama dalam bentuk kerjasama dengan parti lain pada PRN.

DUN SABAH

‘Pai ulung’, antara momokan dalam perbualan di Sabah yang lazim digunakan dalam permainan daun terup membawa maksud susunan kad salah. Keadaan itu menyebabkan pemain itu kalah dalam pertaruhannya.

Ada juga mengaitkannya dengan strategi atau percaturan tidak menjadi contohnya dalam perlawanan bola sepak.

Momokan itu juga kerap dilaungkan ketika episod ‘Langkah Kinabalu’ pada Januari 2023. Peristiwa itu menyebabkan Barisan Nasional (BN) dikuasai Umno terkeluar daripada pentadbiran Sabah diketuai Hajiji Noor.

Ketuanya Bung Moktar Radin digugurkan sebagai timbalan ketua menteri digantikan Adun Tanjung Keramat Shahelmey Yahya. Beberapa Adun BN juga terkeluar daripada Kabinet Sabah dan ini berlaku selepas mereka menarik sokongan terhadap Hajiji.

Mengapa momokan pai ulung digunakan? Ada mengaitkannya dengan kesilapan strategi politik BN yang dikatakan mahu bekerjasama dengan Warisan dalam menjatuhkan Hajiji daripada tampuk pentadbiran.

Namun lain pula jadinya, bukan sahaja jumlahnya tidak mencukupi malah ada Adun BN termasuk Shahelmey tetap menyokong Hajiji. Adun Sulaman itu turut menikmati sokongan daripada Pakatan Harapan (PH).

“Pai Ulung Dato.” Itu antara momokan warga maya terhadap Bung yang selepas itu bergandingan dengan Presiden Warisan Shafie Apdal dalam blok pembangkang DUN Sabah, bukannya di pusat pentadbiran Sabah seperti diimpikan.

Hajiji kekal di pejabatnya di Menara Kinabalu mengetuai pentadbiran lebih kukuh dan berusaha sebaiknya menjalankan tugas kerajaan kepada warga negeri di bawah bayu itu.

Tahun ini, PRN Sabah dijangka diadakan susulan penggal pentadbiran Hajiji tamat Oktober depan. Maka, pelbagai perancangan dan strategi politik diatur.

Antara topik paling kerap dibincangkan adalah berkait kerjasama atau gabungan politik. Ini kerana penganalisis berpendapat setakat ini tiada parti dilihat mampu membentuk kerajaan secara bersendirian selepas PRN.

Mahu meneruskan kerjasama di peringkat persekutuan, BN dan PH memulakan perbincangan. Pada 5 Nov tahun lalu, gabungan itu bertemu untuk memupuk semangat perpaduan menjelang PRN.

Dalam kenyataan bersama, kedua-duanya bersetuju mewujudkan ruang komunikasi bagi memurnikan gerak kerja bersama, termasuk terbuka menjalin hubungan dengan parti lain.

Sejak itu, tidak kedengaran ada pertemuan rasmi susulan. Namun, Bung pada 13 April lalu mengumumkan BN akan bekerjasama dengan PH bagi menghadapi PRN. Beliau menjelaskan keputusan itu dibuat pada pemukimannya pada hujung tahun.

Pelbagai reaksi daripada pengumuman itu termasuk daripada pemimpin parti komponen PH. Ketua Penerangan PKR Sabah Razeef Rakimin menyatakan meski menyambut baik, beliau menggesa BN menjernihkan hubungan dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Menurut Razeef, kerjasama itu tidak seharusnya membabitkan perselisihan dengan parti lain dalam kerajaan perpaduan termasuk GRS.

Ketua DAP Sabah, Phoong Jin Zhe, mengesahkan tiada perbincangan rasmi kerjasama BN dan PH seperti diumumkan Bung. Beliau turut menegaskan kerjasama politik mesti berlandaskan dasar menyumbang kepada pembangunan Sabah, bukan semata-mata untuk pilihan raya.

Susulan pelbagai reaksi diutarakan, Ketua Penerangan Umno Sabah Suhaimi Nasir menjelaskan tindakan Bung itu dianggap strategi persepsi politik untuk membentuk sentimen rakyat, menguji reaksi politik dan menguasai kembali naratif media.

Beliau menegaskan, pengumuman Bung juga bukan tembakan rambang dan dianggap ‘agenda setting’ di dunia sains politik untuk meletakkan Umno/BN dalam radar ramai.

“Soal sama ada kerjasama ini akan berlaku atau tidak adalah perkara kedua. Yang penting sekarang Umno Sabah kembali berada dalam radar politik nasional dalam perbualan media, perhatian rakyat dan pertimbangan parti-parti lain,” kata Ahli Parlimen Libaran itu.

Mengikut kenyataan Suhaimi itu, BN nampaknya masih mengambil sikap tunggu dan lihat maklum balas rakan daripada PH. Namun, pada masa sama ada juga kecenderungan PH meneruskan kerjasama GRS berdasarkan kedudukan dalam pentadbiran Sabah kini.

GRS juga sebahagian pentadbiran di Putrajaya dipimpin Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang juga pengerusi PH.

Jadi, melihat kepada keadaan itu, pembentukan kerjasama gabungan utama pada PRN masih lagi jauh, mengambil kira situasi tersebut dan ketegasan Bung enggan bekerjasama dengan GRS.

Strategi Ahli Parlimen Kinabatangan dan Adun Lamag itu perlu betul jika tidak ingin salah langkah lagi dan membawa BN ke puncak kuasa di Sabah.

Pastinya beliau tidak lagi mahu ‘pai ulung’.

 

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.