Perpaduan diuji: Bagaimana retorik PAS lemahkan kepelbagaian Malaysia

Perpaduan diuji: Bagaimana retorik PAS lemahkan kepelbagaian Malaysia

Retorik PAS menanamkan rasa syak dan meminggirkan nilai toleransi serta hormat yang menjadi teras di Malaysia.

christmas

Tuduhan terbaru PAS terhadap DAP sekali lagi menyerlahkan usaha berterusan parti itu untuk mencetuskan perpecahan dalam kalangan rakyat Malaysia.

Mempolitikkan perkara seperti sambutan Krismas, sambil mengabaikan realiti kepelbagaian budaya Malaysia hanya menunjukkan niat sebenar PAS – untuk mewujudkan ketidakharmonian dan ketakutan dalam negara kita.

Dalam tuduhan terbarunya, ia membabitkan sambutan Krismas anjuran Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang dihadiri kakitangan kementerian beragama Islam.

Menteri Nga Kor Ming menjelaskan, kumpulan penyanyi yang membuat persembahan dalam majlis itu adalah penganut Kristian dari Sarawak (kebanyakan mereka anggota unit K9 bomba). Ini menimbulkan persoalan: Adakah PAS memiliki bukti kukuh untuk menyokong dakwaan mereka, atau adakah ini satu lagi percubaan untuk memecah-belahkan pandangan umum?

Setiap tahun, kontroversi sengaja dicetuskan berhubung ucapan perayaan mudah seperti ‘Selamat Hari Krismas’ dengan pihak seperti PAS menggambarkannya sebagai ancaman kepada prinsip agama. Perkara ini melemahkan semangat sebenar keharmonian perayaan.

Lagu-lagu seperti ‘Jingle Bells’ dan ‘Deck the Halls’ hanya meraikan kegembiraan musim perayaan – tiada beza dengan ucapan ‘Gong Xi Fa Cai’ semasa Tahun Baharu Cina atau ‘Rasa Sayang’ dalam acara budaya lain. Dengan melabelkan lagu-lagu ini sebagai pelanggaran agama (religious infringement), PAS menunjukkan betapa kurangnya pemahaman tentang warisan pelbagai budaya kita.

Penjelasan Nga menegaskan satu kebenaran penting: Kekuatan Malaysia terletak pada kepelbagaiannya. Sarawak, dengan tradisi keharmonian antara agama yang lama terjalin, adalah lambang perpaduan yang mendefinisikan negara kita. Sambutan Krismas oleh kakitangan Kristian tidak sepatutnya dilihat sebagai kontroversi, sebaliknya sebagai pengukuhan kebebasan beragama – asas utama dalam Perlembagaan kita.

Namun, PAS terus meniup api perpecahan. Di peringkat nasional, tindakan sedemikian menghalang kemajuan kita ke arah saling memahami dan hidup bersama. Daripada menyatukan rakyat, retorik PAS menanamkan rasa syak dan meminggirkan nilai toleransi dan hormat yang menjadi teras di Malaysia.

Corak mengapi-apikan ketegangan agama ini bukanlah sesuatu yang baru bagi PAS. Pada 2021, pemimpin PAS tertentu membantah hiasan bertemakan Krismas di ruang awam, mendakwa ia ‘mengancam prinsip Islam’.

Pada 2017, ahli PAS mendakwa bahawa mengucapkan ‘Merry Christmas’ atau Selamat Hari Krismas kepada bukan Islam menjejaskan akidah Islam. Kenyataan tidak berasas ini mencerminkan usaha berterusan untuk menggambarkan perayaan agama lain sebagai tidak serasi dengan Islam – satu premis yang bertentangan dengan identiti inklusif Malaysia.

Rakyat Malaysia mesti mencabar naratif yang memecah-belahkan ini, menuntut bukti kukuh bagi setiap tuduhan, dan berdiri teguh pada prinsip perpaduan serta keharmonian yang telah lama memacu negara kita ke hadapan.

Syerleena Abdul Rashid adalah Ahli Parlimen Bukit Bendera.

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.