Harga kawalan minyak masak tingkatkan ketirisan

Harga kawalan minyak masak tingkatkan ketirisan

Setakat ini belum ada kerajaan yang berani menilai semula dasar minyak masak bersubsidi kerana mungkin akan menjejaskan sokongan pengundi.

Oleh Wai Tee

Minyak masak terpakai ada harga rupanya. Pada harga RM3.00/kg itu adalah lebih mahal berbanding RM2.50/kg bagi harga minyak masak bersubsidi baharu dalam peket. Tawaran ini tentunya disambut baik oleh semua pengguna terutama suri rumah tangga.

Apakah impak bila harga minyak masak terpakai lebih mahal dari minyak masak baharu? Kerajaan memperuntukkan sebanyak 60,000 tan metrik sebulan yang pada asalnya dikhaskan untuk kegunaan isi rumah sejak 2007. 60,000 tan metrik itu bersamaan 60 juta peket polibeg yang beratnya 1kg setiap satu untuk edaran di pasaran runcit.

Harga minyak masak bersubsidi adalah harga kawalan yang ditetapkan kerajaan iaitu RM2.50/kg. Peruncit yang menjual lebih tinggi dari harga kawalan boleh diambil tindakan dibawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan (AKHAP).

Subsidi minyak masak sahaja dilaporkan melebihi RM2 bilion pada 2022. Subsidi itu berdasarkan harga minyak sawit mentah (CPO) di pasaran dunia. Jika harga CPO melebihi RM4,000 se tan metrik maka lebih tinggilah subsidi yang perlu dibayar oleh Kerajaan. Polisi ini masih diteruskan biarpun kerajaan bersilih ganti seperti yang berlaku pada 2018, 2021, dan 2022.

60 juta kg secara logiknya mencukupi untuk kegunaan isi rumah Malaysia. Isi rumah Malaysia B40 dan M40 yang menggunakan minyak masak bersubsidi berjumlah 6.6 juta rumah berdasarkan sebuah keluarga dengan dua orang anak.

Golongan T20 biasanya menggunakan minyak masak kemasan botol atau minyak masak sebatian campuran minyak lain seperti kacang tanah dan jintan. Jika trend perpindahan penggunaan RON97 ke RON95 berlaku kepada minyak masak, maka jumlah isi rumah yang menggunakan minyak masak bersubsidi adalah sekitar 8.25 juta.

Jika sebuah isi rumah diperuntukkan 5kg minyak masak sebulan, bermakna keperluan minyak masak bersubsidi sekitar 41.25 juta kg sebulan. Terdapat lebihan sekitar 18.75kg.

Data terakhir penjaja dan peniaga kecil pada Februari 2023 dianggarkan sekitar 92,000. Jika golongan penjaja dan peniaga kecil dibolehkan mengguna 5kg sehari atau 150kg sebulan, maka keperluan kelompok ini sekitar 13.80juta sebulan. Jumlah keperluan keseluruhan adalah 55.05 juta kg dan masih ada lebihan 5 juta kg dari peruntukan 60,000 tan metrik tersebut.

Persoalannya kenapa berlaku kekurangan di pasaran? Kenapa rakyat mengeluh susah nak dapat bekalan minyak masak bersubsidi di rak-rak kedai runcit dan pasaraya satu ketika dahulu?

Punca kekurangan bekalan

Berbagai andaian dibuat tentang punca kekurangan bekalan di pasaran. Salah satunya penyeludupan. Berita Harian pada 4 Julai 2022, Astro Awani 4 Julai 2022, Sinar Harian 6 Julai 2022, dan Akhbar Kosmo setahun kemudian iaitu pada 9 Julai 2023 melaporkan minyak masak peket Malaysia berlambak di Thailand.

Semasa lawatan menteri KPDN ke Pengkalan Kubor Kelantan dan Perlis pada pertengahan 2023 memang terdapat minyak masak peket Malaysia dijual di negara tersebut tetapi tidaklah sampai ke tahap lambakan.

Pasukan Penguatkuasa KPDN Perak yang pergi ke pekan Betong di sempadan Perak tidak mendapati satu peket pun minyak masak Malaysia. Peniaga di sempadan itu menyatakan pengguna di sana lebih utamakan produk tempatan Thailand.

Sepanjang 2022, sebanyak 72 kes rampasan minyak masak diambil tindakan di kawasan sempadan negara iaitu 34 kes di Kelantan, 2 kes di Perlis, 34 kes di Sabah, dan 2 kes di Sarawak. Daripada keseluruhan kes, KPDN menyita sebanyak 66,959 kg minyak masak dengan nilai rampasan sebanyak RM180,150.00.

Data di atas menunjukkan penyeludupan bukanlah punca ketirisan dan kurangnya bekalan di pasaran. Penyeludupan yang disita tidak sampai 100,000kg dan kes paling buruk pun mungkin 200,000kg.

Jadi apakah punca kekurangan? Penggunaan yang berlebihan merupakan satu bentuk ketirisan yang boleh mengurangkan bekalan di pasaran. Biasanya 5kg minyak masak digunakan untuk gorengan dan tumisan untuk satu keluarga sebulan. Tetapi kerana harga minyak masak terpakai lebih mahal, kegunaan isi rumah meningkkat dua kali ganda menjadi 10kg sebulan. Kalau dahulunya lima kali goreng tetapi sekarang hanya dua kali sebelum minyak terpakai itu ‘dijual’ untuk mendapatkan semula pendapatan tambahan.

Sepuluh kg yang dijual sebagai minyak terpakai mungkin sudah susut menjadi enam kg. RM18.00 dari jualan minyak terpakai pengguna boleh membeli tujuh peket minyak masak baharu. Penambahan penggunaan dari 5kg sebulan kepada 10kg sebulan tentunya menambah permintaan dan boleh mengurangkan bekalan jika kuota tetap pada 60,000 tan metrik sebulan. Inilah yang mungkin terjadi!

Lagi satu ketirisan ialah penggunaan minyak masak bersubsidi oleh pengusaha restoran besar selain dari penjaja dan peniaga kecil. Harga makanan di restoran besar selalunya lebih mahal dari warung tepi jalan. Dengan menggunakan minyak masak bersubsidi, untung mereka akan berlipat kali ganda. Penggunaan minyak masak bersubsidi oleh restoran besar dan industri kuih muih pastinya memberi kesan kepada bekalan.

Ada juga cerita di mana pihak pembekal sebenarnya suka membekalkan terus kepada restoran besar dan penjaja serta peniaga kecil. Ini disebabkan pihak restoran dan peniaga kecil itu sanggup membayar tunai kepada pembekal berbanding dengan peruncit yang kadang-kadang menggunakan terma kredit antara 3 hingga 6 bulan.

Ada juga sosek-sosek pasaran yang mengatakan restoran sederhana besar sedia membayar pada harga RM3.00 se peket dengan syarat bekalan mencukupi dan dihantar terus kepada restoran. Ini juga mungkin penyebab kurangnya bekalan di pasaran.

Baru-baru ini penguatkuasa KPDN melumpuhkan sindiket memindahkan minyak masak peket bersubsidi ke dalam botol untuk dijual pada harga tanpa subsidi. Ini pastinya salah satu punca kekurangan bekalan minyak masak peket di pasaran. Jenayah ini dipanggil de-canting yang memberikan keuntungan berlipat kali ganda tanpa kerja keras dan pelaburan dalam bidang teknologi dan perkakasan.

Satu lagi faktor yang menyebabkan kurangnya bekalan minyak masak peket di pasaran adalah penggunaan oleh warga asing. Terdapat kira-kira 2.1 juta pendatang asing seperti yang dilaporkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia pada Jun 2022. Sebanyak 2.1 juta kg tiris setiap bulan jika 10 orang menetap di sebuah rumah menggunakan 10kg minyak bersubsidi setiap bulan.

Perlunya perubahan polisi

Jika serius hendak mengatasi ketirisan dan kekurangan bekalan di pasaran, kerajaan harus berani menilai semula dasar sedia ada. Ini meliputi kuota, harga kawalan, subsidi termasuklah subsidi bersasar dan memperkemaskan system pemantauan dan penguatkuasaan.

Pembanterasan penyeludupan ada kekangannya. Justeru inisiatif ekonomi sempadan Thailand dan Indonesia yang diperkenalkan oleh KPDN merupakan satu pendekatan dasar yang baik untuk mengurangkan ketirisan minyak masak dan mengekang subsidi mengalir keluar negara.

Kerajaan harus kaji secara dasar siapakah yang layak menerima dan membeli minyak masak peket bersubsidi. Apakah hanya isi rumah? Apakah penjaja dan peniaga kecil termasuk dan apakah kriterianya? Apakah restoran sederhana besar dan industri kuih muih juga dibenarkan? Harga makanan bermasak akan melonjak jika golongan ini tidak dibenarkan menggunakan minyak masak bersubsidi.

Dari situ kuota akan ditentukan. Samada 60,000 tan metrik mencukupi atau perlu ditambah? Ini diikuti dengan perkara dasar lain seperti subsidi bersasar, harga runcit tanpa subsidi, serta mekanisme pelaksanaan.

Teknologi harus digunakan bagi memantau pergerakan minyak masak bersubsidi dari kilang ke re-packer, ke pemborong (pembekal) hinggalah ke peruncit dan pengguna. Data-data yang dikumpul akan membantu dalam penguatkuasaan di samping membangunkan dasar-dasar yang berkaitan yang lebih baik.

Oleh kerana subsidi bergantung kepada harga CPO di pasaran dunia di mana Malaysia merupakan pengeluar minyak masak sawit kedua terbesar di dunia, maka amat bertepatan untuk Malaysia melaksanakan two-tiered pricing; satu untuk kegunaan domestik dan satu lagi untuk eksport. Minyak masak kegunaan domestik hanyalah sekitar 7% dari pengeluaran keseluruhan negara.

Dengan subsidi bersasar, harga RM2.50/kg minyak masak bersubsidi harus dilihat semula bagi memastikan subsidi itu tidak mengalir kepada warga asing dan penggunaan berlebihan untuk menjual minyak masak terpakai dapat dikurangkan.

Setakat ini belum ada kerajaan yang berani menilai semula dasar minyak masak bersubsidi kerana mungkin akan menjejaskan sokongan pengundi. Apakah kerajaan sedia ada berani?

 

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.