Penyasaran cegah warga asing beli minyak subsidi, kata timbalan menteri

Penyasaran cegah warga asing beli minyak subsidi, kata timbalan menteri

Ketika ini tiada larangan untuk warga asing membeli minyak masak peket bersubsidi.

KPDN akan menggunakan maklumat Pangkalan Data Utama (Padu) untuk menyediakan garis panduan pembelian minyak masak bersubsidi.
PETALING JAYA:
Penyasaran subsidi akan mengekang warga asing membeli barang bersubsidi seperti minyak masak peket yang ketika ini turut menikmatinya sehingga ada penduduk tempatan gagal mendapatkannya.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Fuziah Salleh berkata kini minyak masak berharga RM2.50 itu dijual secara pukal disasarkan kepada mana-mana kumpulan menyebabkannya boleh dibeli sesiapa sahaja.

“Selepas kita lakukan penyasaran subsidi, warga asing tidak boleh beli barangan bersubsidi kerana mereka tidak termasuk dalam kategori layak,” katanya kepada FMT mengulas penularan sebuah video memaparkan tindakan seorang lelaki tempatan menegur warga asing daripada membeli minyak masak peket.

Pada 9 Jan lalu, Menteri KPDN Armizan Mohd Ali berkata tiada larangan untuk warga asing membeli minyak masak paket bersubsidi namun mereka tertakluk kepada had pembelian sama seperti rakyat Malaysia.

Fuziah berkata ketika ini kerajaan masih menyediakan garis panduan bagi mengekang penjualan barangan bersubsidi yang akan mengambil kira data Pangkalan Data Utama (Padu).

“Data dikumpul dari Padu akan dapat membantu,” katanya.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2024 berkata kerajaan akan melakukan penyasaran semula subsidi secara berfasa pada tahun ini, dengan penjimatan disalur untuk meningkatkan peruntukan untuk program lain termasuk Sumbangan Tunai Rahmah.

Penjimatan itu dijangka memanfaatkan sembilan juta penduduk.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.