
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Fuziah Salleh berkata kementerian mahu menilai penerimaan orang ramai sebelum melaksanakannya di seluruh negara.
“Kami masih menilai sama ada pengguna boleh menerima mekanisme ini.
“Apabila kami mempunyai maklumat yang mencukupi, kita boleh perluaskan ke semua premis peruncitan. Buat masa ini, kita belum ada garis masa,” katanya selepas pelancaran pra-persidangan ASEAN E-Dagang di sini.
Semalam, Fuziah berkata kerajaan sedang membangunkan sebuah aplikasi yang akan memerlukan pengguna mengimbas kod QR untuk membeli paket minyak masak.
Beliau berkata aplikasi bagi Sistem Penstabilan Harga Minyak Masak itu, yang sedang dibangunkan kementeriannya, hanya membenarkan pembelian setelah pengesahan kewarganegaraan dilakukan.
Menurutnya, sistem tersebut direka untuk menghalang warga asing daripada membeli barangan kawalan seperti minyak masak, yang kini semakin sukar diperoleh rakyat Malaysia.
Hari ini, Fuziah menjelaskan bahawa sistem penjejakan minyak masak bersubsidi pada masa ini hanya terhenti apabila produk sampai ke peruncit.
“Dengan sistem baharu ini, kita menambah satu lagi pautan – dari peruncit kepada pengguna – di mana peruncit menyediakan kod QR dan pengguna mengimbasnya,” katanya.
RUU e-Dagang tunggu kelulusan Kabinet, Peguam Negara
Fuziah turut berkata kementerian telah selesai sesi libat urus dengan pihak berkepentingan berhubung cadangan Rang Undang-Undang e-Dagang, dan kini menunggu kelulusan Kabinet serta Peguam Negara.
Beliau berkata proses libat urus kementerian dengan pihak berkepentingan selesai pada Oktober lalu, selepas bermula sejak April 2024.
“Kami telah menyiapkan semua penanda aras, kumpulan fokus, penilaian impak peraturan dan sesi town hall, serta mendapatkan maklum balas daripada semua pihak berkepentingan. Draf sudah siap, tetapi ia perlu kelulusan Kabinet dan Peguam Negara sebelum boleh diteruskan.
“Kami berharap dapat membentangkan rang undang-undang itu di Parlimen sebelum akhir tahun ini,” katanya, sambil menambah bahawa kepesatan e-dagang menyebabkan kelewatan walaupun enam bulan boleh memberi kesan besar.