
Siapa sahaja boleh tidak setuju, menafikan, malah marah akan kandungan memoir bekas peguam negara Tommy Thomas.
Tetapi desakan demi desakan supaya buku “My Story: Justice in the Wilderness” diharamkan sesuatu yang membimbangkan.
Sebab? Sudah tidak boleh setuju untuk tidak bersetuju. Ini juga menunjukkan sikap tidak toleran terhadap sesuatu yang tidak disukai. Pada hal ada ruang untuk membawa ketidakpuasan hati ke mahkamah, tanpa buku diharamkan.
Lebih membimbangkan jika kerajaan menuruti desakan itu. Bagi saya, pengharaman buku itu bertentangan dengan hak kebebasan bersuara yang selaras dengan Perlembagaan.
Tindakan pengharaman sedemikian, jika diambil, juga boleh ditafsirkan tindakan pihak berkenaan tidak cenderung untuk ‘menguji’ kesahihan kandungan buku itu di mahkamah, menggunakan perundangan sedia ada berkaitan fitnah dan hasutan.
Mengharamkan buku itu ibarat senyapkan suara. Ini langkah ke belakang.
Dan berikut satu lagi perkembangan membimbangkan.
Pengerusi Kaukus Jawatankuasa Kesejahteraan Rakyat Dewan Negara, Senator Razali Idris, mahu tindakan undang-undang lebih tegas dan agresif untuk membanteras “cercaan, hasutan, dan carutan” oleh warganet.
Beliau melihat tindakan warganet itu “sudah jadi penyakit mental nombor satu di negara”. Tidak dapat dipastikan sama ada beliau punya kajian, butiran, dan fakta untuk menyokong kenyataan itu.
Itu bukan yang dibimbangkan. Lagi pun itu hak beliau bebas bersuara.
Razali jelas tidak senang dengan kritikan yang dilemparkan ke atas Muhyiddin Yassin.
“Terbaharu cercaan, hasutan, dan carutan warganet terhadap perdana menteri sewaktu lawatannya ke Indonesia adalah sesuatu yang tidak boleh diterima serta tidak melambangkan sifat sopan santun dan tatasusila yang baik,” beliau dipetik berkata.
Lantas, Razali mencadangkan satu rang undang-undang baru diperkenalkan. Atau, katanya Seksyen 233 Akta Komunkasi dan Multimedia yang sedia ada dipinda. Ini membimbangkan.
“Dalam hal ini, Parlimen juga boleh menggubal undang-undang menurut Perkara 10(2)(a) untuk menyekat kebebasan bersuara sekiranya ia berkenaan beberapa perkara antaranya, berkaitan keselamatan dalam negeri, prinsip moral, ketenteraman awam dan hubungan antarabangsa,” kata beliau.
Razali, senator daripada PPBM pimpinan Muhyiddin, mahu perundangan baharu itu membolehkan tindakan keras diambil keatas warganet yang menggunakan media sosial yang “mempamerkan tingkah laku melampau atau extremis serta tidak patriotik terhadap Institusi Raja-Raja, Institusi Perdana Menteri dan negara”.
Menghina atau mencerca Institusi Raja-Raja sememangnya kesalahan mengikut perundangan negara untuk sekian lama. Itu semua sudah maklum. Begitu juga menghina negara.
Oleh itu, isunya sekarang atau perkara yang “baharu” yang dibangkit Razali ialah Institusi Perdana Menteri.
Dalam erti kata lain – tidak boleh menghina atau cerca perdana menteri. Saya tidak berhasrat berpolemik kecuali bertanya sama ada Razali betul atau tidak, sama ada perundangan yang dicadang beliau itu wajar atau sebaliknya.
Ramai yang lebih arif sudah pun bersuara.
Saya hanya menambah seperkara. Yang membimbangkan ialah apa tafsiran “menghina, cercaan, carutan”. Saya bimbang kritikan dan teguran (walaupun diakui ada yang agak kasar) ke atas perdana menteri dan pentabirannya akan ditafsir sebagai “penghinaan, cercaan, carutan” mahu pun “hasutan”.
Lalu yang mengkritik dan menegur boleh dikenakan hukuman keras.
Maksudnya “penghinaan, cercaan, carutan” ialah apa yang ditafsir oleh kerajaan. Ia adalah apa yang kerajaan kata. It’s what the government say it is. Ini yang membimbangkan.
Lebih membimbangkan ia adalah langkah untuk mendiamkan suara rakyat dan menghalang kritikan dan teguran (meski pun mungkin ada antaranya yang membina) ke atas perdana menteri dan kerajaan.
Satu lagi langkah keterbelakang.
Dan ini satu lagi yang membimbangkan.
Kata ketua Kumpulan Karangkraf, Hussamuddin Yaacob, ada pegawai satu kementerian melakukan ugutan bagi menghalang kebebasan media.
Beliau mendakwa pegawai berkenaan mengugut untuk menamatkan kontrak pengiklanan jika media memberi ruang kepada individu tertentu dalam laporan mereka.
“Rupanya di tahun 2021 pun masih ada pegawai menteri/kementerian yang berotak bingai, siap boleh ugut media untuk batalkan kontrak iklan dari kementerian tempat dia bertugas jika media beri ruangan kepada si polan si polan.
“Siap ugut nak boikot lagi. Ingat boleh tongkat langit ke?” katanya menerusi Twitter.
Kumpulan Karangkraf seperti kita tahu ialah antara lain, ialah penerbit akhbar Sinar Harian.
Dalam tweet berasingan, Hussamuddin berkata kerajaan BN dan Pakatan Harapan sebelum ini walaupun “tak berapa suka dengan pendirian kami, tapi mereka tak pernah ugut malah siap ‘engaged’ kami. Hubungan kekal mesra walaupun benci tapi rindu. Geng baru ni lain macam pula”.
Jika kerajaan BN dan PH tidak pernah ugut dan kerajaan sekarang pula “lain macam” menurut Hussamuddin, ini tindakan anti media bebas, tindakan untuk mengawal media.
Satu lagi langkah keterbelakang. Amat membimbangkan.
Kata Hussamuddin lagi: “TSMY (Muhyddin Yassin) kena tengok tengok juga”. Setuju. Perdana menteri wajib kena “tengok-tengok”.
Lagi membimbangkan jika tindakan pegawai berkenaan direstui bosnya. Jika tindakan bos itu pula direstui bos ‘lebih tinggi,’ ia lebih membimbangkan.
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.