
Khairy Jamaluddin menaiki basikal, terlanggar lubang di jalan raya lalu jatuh dan mengalami kecederaan. Dengan pantas JKR Kuala Langat memohon maaf dan mendoakan beliau cepat sembuh.
Jangan dipersalahkan Khairy kerana diberi ucapan maaf pada kadar segera. Itu keistimewaan yang diterima selaku menteri. Dah rezeki beliau.
Di alam siber kedengaran netizen bertanya jika kemalangan sedemikan berlaku ke atas rakyat biasa adakah JKR akan memohon maaf?
Bercakap secara am, saya rasa rata-rata jabatan atau agensi kerajaan akan memohon maaf walaupun yang ditimpa musibah rakyat biasa. Mohon maaf dengan cepat atau lambat tertakluk kepada keadaan, jabatan dan kakitangan terbabit.
Berbalik kemalangan Khairy, JKR Kuala Langat menerusi Twitter menegaskan “akan mengambil tindakan segera ke atas isu berkenaan”. Maknanya JKR Kuala Langat akan dengan segera membaik pulih jalan di mana Khairy terjatuh. Jalan raya itu bawah selengaraan jabatan berkenaan.
Rasanya kenyataan seperti itu atau “tekad” untuk bertindak segera bagi mengatasi masalah juga sesuatu yang biasa dilafazkan mana-mana jabatan kerajaan. Oleh itu tiada “layanan istimewa” buat Khairy.
Cuma dalam kes Khairy “mungkin” ketika anda membaca artikel ini, jalan raya berkenaan sudah pun dibaik pulih. Lubang sudah ditutup. Saya kata “mungkin” kerana tidak pasti sama ada kerja baik pulih sudah dijalankan.
Jika sudah, itu “keistimewaan” seorang menteri – berupaya mencetus tindakan segera. Atau mungkin JKR Kuala Langat memang jabatan yang pantas bertindak mengatasi masalah.
Apa pun dalam kalangan netizen ada rungutan mengenai keadaan jalan di kawasan Khairy terjatuh daripada basikalnya iaitu dibawah penjagaan JKR Kuala Langat. Lalu disenaraikan jalan dan laluan yang dilihat mereka bermasalah dan memerlukan perhatian jabatan itu dengan segera.
Ada jalan, kata mereka, yang perlu dibaiki, ada yang perlu diturap, ada lubang perlu dikambus, dan takungan air perlu dikeringkan. Demi keselamatan pengguna. Dakwa mereka aduan sudah lama dibuat tetapi tindakan masih belum diambil.
Lantas mereka mengulangi pertanyaan – adakah jabatan akan memohon maaf dan mengambil tindakan segera jika yang ditimpa kemalangan “rakyat marhaen dan bukanya menteri”? Dan timbullah soal “double standard”.
Saya kira pertanyaan seperti itu bukan sahaja boleh digunakan untuk kes kemalangan Khairy. Atau semata-mata diajukan kepada JKR Kuala Langat. Ia boleh diguna untuk merujuk permasalahan lain membabitkan kerajaan secara am bukan sekadar beberapa agensi atau jabatan.
Teringat saya akan buku “Stupid White Men” hasil Michael Moore, penulis, pembikin filem, dan aktivits Amerika Syarikat. Buku itu dikeluarkan pada 2001. Ia amat kritikal terhadap dasar kerajaan AS khususnya pentadbiran Clinton dan Bush, terutama George Walker Bush, presiden AS ke-43 (memegang jawatan dari 2001 hingga 2009).
Menerusi buku itu, Moore bercakap mengenai kegagalan atau keengganan pemimpin politik AS mengambil tindakan untuk mengatasi pelbagai masalah yang dihadapi rakyat. Sebabnya, kata Moore, pemimpin politik yang hidup senang tidak pernah terjejas dengan masalah yang menimpa rakyat dan oleh itu tidak merasai keperitan yang dirasai rakyat.
Lahirlah “”A Prayer to Afflict the Comfortable” atau doa untuk menderitakan golongan berada, yang diilhamkan Moore.
Kesimpulan doa itu, Moore memohon tuhan supaya setiap ahli “House of Representatives” dan senator AS diberi kesusahan, ditarik kekayaaan, dan kesenangan, dijangkiti penyakit serius, dan dilanda pelbagai penderitaan.
Bukan mereka sahaja yang mesti menderita, kata Moore. Beliau turut mendoakan penderitaan menimpa anggota keluarga pemimpin politik, ahli “House of Representatives”, dan senator.
Menurut Moore, hanya dengan mengalami keperitan, kesengsaraan, dan penderitaan golongan itu (yang punya kuasa) akan cepat menggunakan kuasa yang mereka miliki untk menghapuskan segala masalah yang dihadapi. Kerana mereka mahu keluar daripada kesusahan, sekaligus masalah yang sama dirasai rakyat jelata akan turut terhapus.
Doanya tidak terlalu panjang. Bahasa yang digunakan Moore kasar. Pun begitu bagi saya amat menarik. Mesej yang sinis, tepat, dan menikam. Sila Google untuk menghayati doa Moore sepenuhnya.
Kita tentu bimbang jika kemalangan Khairy dan tindakan susulan JKR Kuala Langat mendorong dalam kalangan rakyat yang berdoa ala doa Michael Moore.
Misalnya “mendoakan” ada lagi menteri yang “langggar lubang supaya jalan raya kita sentiasa dalam keadaan baik”. Dengar kata sudah ada pun doa seperti itu. Waullahualam.
Atau mahu menteri dijangkiti COVID-19 supaya menjaga SOP dengan sempurna agar dijadikan contoh dan teladan untuk rakyat? Supaya menteri cakap serupa bikin.
Para agamawan beritahu doa hanya untuk kebaikan, bukan memohon kemudaratan, kecelakaan, atau penderitaan walaupun untuk musuh.
Lantas mereka yang dalam keadaan yang boleh melakukan sesuatu (yang punyai kuasa) untuk mengatasi masalah, lakukanlah dengan jujur dan segera. Lakukan demi kebaikan semua termasuk diri sendiri.
Maka tidak ada yang akan berdoa ala Michael Moore. Yang ada kelak ialah doa untuk yang baik-baik.
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.