
Apabila kita semakin berusia, jisim otot juga akan semakin berkurangan. Tahukah anda mengenai keadaan otot manusia yang semakin mengecil ini? Keadaan ini boleh menjejaskan fungsi otot manusia.
Sarkopenia: Kehilangan jisim otot yang menjejaskan fungsi otot
Keadaan kehilangan jisim otot ini disebut sebagai sarkopenia, ianya disebabkan oleh proses penuaan yang dialami.
Normal jika seseorang itu kehilangan jisim otot apabila sudah semakin tua.
Namun, sarkopenia adalah satu keadaan kehilangan jisim otot yang agak teruk sehingga boleh menjejaskan tubuh badan seseorang.
Ia boleh mengganggu keseimbangan tubuh, kekuatan untuk berjalan serta perkara-perkara lain.
Apakah punca kepada sarkopenia sehingga boleh menjejaskan fungsi otot?
Penyebab biasa ialah kurang melakukan aktiviti fizikal setiap hari. Namun, ada juga beberapa punca lain yang boleh menyebabkan sarkopenia.
Antaranya:
- Kurangnya sel saraf yang menghantar isyarat dari otak untuk menyatakan kepada otot agar ia bergerak
- Kurang paras hormon dalam tubuh
- Badan kurang berfungsi untuk menukarkan protein kepada tenaga
- Tidak mengambil sumber protein atau kalori yang mencukupi setiap hari bagi mengekalkan jisim otot
Cara mengelakkan sarkopenia
Terdapat beberapa kaedah yang boleh membantu seseorang itu daripada mendapat sarcopenia, antaranya:
1. Senaman rintangan
Antara jenis senaman rintangan adalah seperti angkat berat, menarik beban atau mana-mana kaedah senaman yang mengerakkan tubuh badan melawan graviti.
Apabila anda melakukan jenis senaman ini, tekanan pada otot manusia akan menyebabkan isyarat pertumbuhan yang sekali gus menguatkan otot anda.
Selain itu, senaman ini juga membantu mempertingkatkan tindakan hormon yang menggalakkan pertumbuhan otot.
2. Latihan kecergasan
Latihan kecergasan yang meningkatkan kadar degupan jantung bukan saja baik untuk jantung, tetapi juga bermanfaat dalam mengelakkan sarkopenia.
Antara jenis senaman yang bermanfaat dalam melawan sarkopenia adalah seperti senaman aerobik.
Kajian menunjukkan bahawa, wanita berusia yang melakukan senaman aerobik selama 5 hari seminggu akan mengalami peningkatan jisim otot.
Mereka melakukan senaman aerobik dalam tempoh 15 minit pada permulaannya dan meningkat sehingga 45 minit sehari selama 12 bulan.
3. Pengambilan protein
Salah satu fungsi protein yang paling utama adalah membina dan menguatkan tisu otot.
Apabila seseorang itu semakin berusia, maka dia digalakkan untuk mengambil lebih banyak sumber protein bagi meningkatkan jisim otot.
Asid amino leucine yang terkandung dalam protein memainkan peranan penting dalam pertumbuhan otot manusia.
Antara jenis makanan yang kaya dengan asid amino ini adalah daging, ikan dan juga telur.
4. Vitamin D
Mereka yang kekurangan vitamin D dalam tubuh, berpotensi untuk mengalami sarkopenia.
Pengambilan vitamin D juga boleh membantu meningkatkan kekuatan otot dan menguatkan keseimbangan tubuh.
5. Asid lemak omega-3
Selain baik untuk otak, asid lemak omega-3 juga berkesan dalam meningkatkan pertumbuhan otot manusia agar tidak menjejaskan fungsi otot.
Dalam satu kajian, wanita yang mengambil 2 gram suplemen minyak ikan berserta senaman rintangan akan mengalami peningkatan kekuatan otot.
Kesan yang mereka alami juga adalah lebih baik berbanding wanita yang hanya melakukan senaman rintangan tanpa pengambilan minyak ikan.
6. Berjalan
Selain daripada senaman dan juga pemakanan, berjalan seperti biasa juga boleh membantu anda melawan sarkopenia.
Bagi warga emas, ia adalah aktiviti yang paling mudah untuk dilakukan.
Satu kajian di Jepun mendapati, mereka yang berusia 65 tahun ke atas dan kerap berjalan dalam masa 6 bulan, mengalami peningkatan jisim otot.
Peningkatan ini lebih jelas berlaku dalam kalangan warga emas yang mempunyai jisim otot yang lebih sedikit sebelum kajian dilakukan.
Kesimpulan
Apabila kita semakin tua, kehilangan jisim otot adalah perkara biasa.
Namun, jika ia menjejaskan kehidupan seharian seperti kerap jatuh atau tidak dapat mengimbangkan diri ketika berdiri, ini bermakna anda mengalami sarkopenia.
Oleh itu, cuba lakukan perkara-perkara yang telah disarankan di atas bermula hari ini untuk mengelakkan sarkopenia.
Artikel ini telah disiarkan di Hello Doctor. Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]