Saya masih sihat dalam perlindungan Allah, kata Bung

Saya masih sihat dalam perlindungan Allah, kata Bung

Ketua BN Sabah itu menafikan laporan beliau sakit dan sedang dirawat di hospital susulan gambar yang tular di media sosial sejak semalam.

Gambar menunjukkan Bung Moktar Radin dalam keadaan sihat sambil menikmati minuman dan buah-buahan di meja. (Gambar Facebook)
KOTA KINABALU:
Timbalan Ketua Menteri Sabah, Bung Moktar Radin menafikan laporan beliau sedang sakit dan dirawat di hospital seperti gambar yang ditularkan di media sosial sejak semalam.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah itu mengesahkan beliau sihat dan kini berada di Kuala Lumpur selepas menghadiri prosiding mahkamah pada Jumaat lepas.

“Kepada semua rakan dan juga musuh politik, jangan bimbang, saya kekal di posisi yang tenang dan masih sihat dalam perlindungan Allah.”

Katanya, beliau akan bersama rakyat dan penyokong BN di Kota Belud pada 10 Okt ini untuk melancarkan program Gelombang Biru dan Pelancaran Jentera Pilihan Raya Kota Belud serta Tuaran.

Sementara itu, Setiausaha Akhbarnya, Jaafar Abdul Wahid ketika dihubungi berkata, sejak semalam, beliau tidak henti-henti menerima panggilan dan WhatsApp daripada beberapa pemimpin serta rakan bertanyakan khabar Bung.

Katanya, ini selepas gambar tular di media sosial dan aplikasi WhatsApp menunjukkan Bung terbaring di atas katil sambil diziarahi Setiausaha Agung BN, Ahmad Maslan dan Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Jafry Arifin.

“Gambar tersebut merupakan gambar lama sekitar 2015 atau 2016, ketika beliau balik daripada menjalani rawatan buah pinggang di China yang sengaja disebarkan dengan tujuan untuk menjejaskan reputasi Bung. Hentikan perbuatan menyebar berita palsu ini.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.