Kelab komedi pertaruh pizza harung pandemik

Kelab komedi pertaruh pizza harung pandemik

Crackhouse Comedy Club, mengubah suai menu mereka dan mula menjual lima pizza kerak nipis buatan sendiri untuk membantu mereka mengatasi kesan pandemik.

Crackhouse Comedy Club dibuka pada bulan Mei 2014 dan telah beroperasi selama 7 tahun sebagai kelab komedi pertama di Malaysia. (Gambar Rizal van Geyzel)
PETALING JAYA:
Sejak negara dilanda wabak, banyak perniagaan perlu tampil dengan tawaran dan promosi baru yang lebih kreatif untuk memastikan perniagaan mereka tetap bertahan sepanjang waktu sukar ini.

Crackhouse Comedy Club berdepan cabaran yang sama ketika perintah kawalan pergerakan (PKP) pertama berkuatkuasa pada bulan Mac.

Setelah berfikir panjang, mereka memutuskan untuk menjual pizza kerak nipis buatan tangan sebagai cara untuk mengatasi wabak ini dan kembali bangkit.

Pelawak dan pengasas bersama, Rizal van Geyzel memutuskan untuk mula menjual pizza secara penghantaran ketika PKP bagi memastikan mereka tetap bertahan dan dapat mengekalkan perniagaan. (Gambar Rizal van Geyzel)

Pengasas bersama, Rizal van Geyzel memberitahu FMT walaupun satu setengah tahun yang sukar sudah berlalu, wabak itu memberi mereka peluang untuk mengubah menu dan fokus kepada aspek makanan dan minuman dalam perniagaan mereka.

“Dulu kami meraih keuntungan daripada jualan tiket tapi kini kami dapat menjana wang dari penjualan makanan yang membolehkan kami mengekalkan harga tiket.

“Saya menghabiskan masa tiga bulan di dapur merancang menu pizza baharu kami,” jelas Geyzel yang banyak menonton video YouTube, membuat percubaan juga kesilapan, yang akhirnya dapat menyajikan menu lima pizza kerak nipis buatan sendiri.

Tambahnya lagi, semasa proses menceburkan diri dalam perniagaan pembuatan pizza, dia bertekad untuk memastikan mereka tidak hanya berpegang pada akar sebagai rakyat Malaysia tetapi juga akar komedi mereka.

Setiap pizza datang dengan kad yang mempunyai kod QR, untuk klip komedi satu minit buat tontonan pelanggan semasa menikmati pizza mereka. (Gambar Rizal van Geyzel)

“Setiap pizza yang dibeli disertakan dengan klip komedi satu minit untuk dinikmati pelanggan kami,” katanya, sambil menambah pelanggan akan menerima kad perniagaan kecil bersama pizza mereka.

“Bahagian depan kad mempunyai nama dan gambar pelawak yang dicetak di atasnya dan di belakang, terdapat kod QR yang boleh diimbas pelanggan.

“Ia akan membawa mereka ke pautan YouTube di mana mereka dapat menonton klip komedi seminit khusus dari pelawak ternama kami sambil menikmati pizza mereka.

“Kami menambah sentuhan kecil ini sebagai cara untuk menjaga identiti kami sebagai pelawak dan dengan harapan dapat membuat orang ketawa ketika berdepan perintah sekatan”, ujarnya lagi.

Setiap pizza dibuat dengan bahan premium segar dan semuanya dari doh hingga sos mereka dan juga dagingnya adalah buatan sendiri. (Gambar Rizal van Geyzel)

Buat masa ini, Crackhouse Comedy Club mempunyai lima pizza buatan tangan di menu mereka, semuanya dibuat di rumah dengan bahan segar premium dan ‘topping’ daging yang diimport seperti brisket daging lembu Australia dan bahu biri-biri.

“Kami dengan bangga menghasilkan semuanya sendiri dari asas adunan hingga kepada sos dan juga ‘topping’ daging kami,” kata Geyzel mesra.

Menu pizza mereka juga termasuk pilihan ayam yang dinamakan ‘Ayam what I am’ yang dihiasi dengan ayam, sos putih dan sos pesto buatan sendiri. (Gambar Rizal van Geyzel)

Setiap pizza diberikan nama kreatif untuk menambahkan sedikit kelainan dan keasyikan pada makanan mereka.

Menu mereka termasuk pizza ‘Gateway Margherita’ sejenis pizza keju biasa.

Mereka juga mempunyai pilihan ayam yang disebut ‘Ayam what I am’ termasuk ayam yang diparut dengan sos putih yang ringan dan berkrim dihiasi dengan mozarella dan sos pesto buatan sendiri.

Menu paling laris mereka semestinya ‘Sambal, yet effective pizza’, terdiri daripada pizza dengan sambal daging lembu yang sesuai untuk semua pencinta makanan pedas di luar sana.

“Kami juga mempunyai pizza yang dinamakan ‘Mary also had a big one’ termasuk kaki biri-biri yang dipanggang perlahan dan akhirnya pizza brisket daging lembu Australia yang dimasak perlahan dipanggil ‘I Got Beef ‘,” kata Geyzel kepada FMT.

Crackhouse Comedy Club turut menambah hidangan sampingan baharu ke dalam menu seperti roti bawang putih yang dinamakan ‘Ollie’s greasy balls’ yang diilhamkan oleh seorang pelawak Inggeris. (Gambar Rizal van Geyzel)

“Selain menu pizza baharu, kami juga telah menambah empat hidangan sampingan baharu ke dalam menu kami.

“Kami mempunyai kentang goreng steak bersaiz besar, kepak ayam ‘Sarong Party’ gandingan rasa timur dan barat, biskut ‘Underground’ yang diperbuat dengan mentega coklat dan akhir sekali ‘Ollie’s greasy balls’ yang merupakan roti bawang putih diilhamkan oleh seorang pelawak dari UK yang terkandas di sini ketika PKP,” kata Geyzel.

Crackhouse Comedy Club pertama kali dibuka pada tahun 2014 sebagai kelab komedi sepenuh masa pertama di Malaysia.

Sebagai seorang pelawak stand-up, dia dan rakan kongsinya mendapat idea untuk membuka sebuah kelab komedi bagi mewujudkan platform buat pelawak tempatan mengasah bakat dan mempraktikkan kemahiran mereka selain lokasi yang kondusif untuk menjadi tuan rumah kepada pelawak antarabangsa.

Sebelum wabak melanda, Crackhouse Comedy Club padat dengan pengunjung yang tidak kering gusi pada setiap hujung minggu. (Gambar Rizal van Geyzel)

“Kami ingin memberi pendedahan kepada masyarakat tentang senario komedi di Malaysia sambil membenarkan mereka mempelajari pelbagai gaya komedi yang berbeza dari seluruh dunia,” tambah Geyzel di mana sebelum pandemik melanda, setiap hujung minggu Crackhouse Comedy Club sentiasa padat dengan pengunjung dan dia penuh sabar menanti saat dan ketika itu kembali.

“Oleh kerana keadaan semakin beransur pulih dan restoran sudah boleh dibuka untuk pengunjung makan di premis, kami kembali membuka pintu kepada orang ramai,” ujarnya lagi.

“Kini kami beroperasi selama empat hari seminggu untuk makan di premis dan juga penghantaran.”

Selain persembahan hujung minggu istimewa yang menampilkan pelawak terbaik mereka, Crackhouse Comedy Club turut mengadakan malam mikrofon dua kali seminggu untuk memberi peluang kepada pendatang baru yang mula berjinak-jinak dengan lawak stand-up.

Sekiranya anda mahukan sesuatu yang menceriakan dalam waktu sukar ini, singgah ke Crackhouse Comedy Club untuk lawak jenaka yang tak kering gusi sambil mengisi perut dengan pizza enak buatan sendiri.

Kelab Komedi Crackhouse
24A, Lorong Rahim Kajai 14,
Taman Tun Dr Ismail
Kuala Lumpur

Waktu perniagaan: 4 petang hingga 10 malam (Selasa hingga Ahad)

Laman web: crackhousecomedy

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.