
Tidak perlu jauh menjenguk sejarah dunia, kartun editorial atau kartun politik bukan baru dalam dunia seni lukisan kartun, komik, karikatur dan grafik di Malaysia. Ia sudah wujud sejak era surat khabar kertas lagi. Pada pertengahan 1930-an kita sudah ada akhbar Warta Jenaka yang mengetengahkan konsep kartun satira politik dan isu semasa. Akhbar Utusan Zaman pada waktu penjajahan British dan Jepun juga sudah ada karikatur Wak Ketuk, karya Ali Sanat yang mengulas rencana lidah pengarangnya dalam bentuk lukisan grafik. Biasanya memang isu politik dan gaya persembahannya dalam bentuk komedi satira. Satira bermaksud menyindir.
Surat khabar menjadi media maklumat paling utama selepas merdeka. Kartunis Lat, Nan, Raz, Zunar, Rossem (sekadar menyebut beberapa nama) adalah antara kartunis yang cukup popular menjayakan ruangan kartun dengan berkonsepkan kartun editorial. Ketajaman karya mereka mengulas isu semasa melalui lakaran grafik dan lukisan menjadi salah satu daya tarikan ke atas jualan akhbar dan majalah pada waktu itu.
Sehinggalah era reformasi tercetus pada 1998, perjuangan menggalas reformasi dan perlawanan dengan pemerintah turut sama dimainkan oleh kartunis. Di sini jugalah munculnya Fahmi Reza selain kartunis-kartunis ‘reformasi’ lain seperti Zunar, Rossem, Haili dan Enot. Tetapi ketika itu Fahmi belum cukup terkenal sebagai pelukis kartun atau karikatur satira. Dia dikenali dengan menulis catatan di blog, mengadakan siri kuliah politiknya dan membuat filem dokumentari pendek. Antara yang cukup popular ialah filem pendek Sepuluh Tahun Sepuluh Merdeka (2007), sebuah dokumentari wajib-tonton mengisahkan peristiwa Hari Hartal, hari protes rakyat terhadap Perlembagaan Persekutuan Malaya ciptaan kerajaan British dan Umno pada 1947 iaitu sepuluh tahun sebelum negara mencapai kemerdekaan.
Ketika era internet semakin meluas dan media cetak semakin pupus, persembahan ala kartun editorial semakin dilupakan. Akhbar Suara Keadilan pun bungkus manakala akhbar Harakah tercungap-cungap. Yang ada hanya kartun editorial di portal online sahaja seperti Zunar di Malaysiakini, kemudian kartunis Amin Landak juga di situ. Sekitar 2009-2011 saya juga melukis kartun di portal Merdeka Review (sehingga operasi laman web ini ditutup). Dalam kalut yang semakin rancak inilah saya melihat karya Fahmi Reza mula muncul bebas tanpa mana-mana platform rasmi seperti mana angkatan kami. Fahmi bergerak sendiri. ‘Sticker’ muka badut yang jelas menampakkan karikatur pemimpin negara pada waktu itu telah menjadi popular dan tular tersebar di dunia maya dan juga di dunia nyata. Ada ‘sticker’ badut ini ditepek di dinding-dinding kawasan awam. Ia secara tak langsung telah membentuk ‘trademark’ dan identiti tersendiri Fahmi Reza yang bagi saya ketika itu masih tercari-cari rentak. Dan, boom! Dia sudah nampak ke mana hendak pergi. Dia mencipta gelombangnya sendiri.
Rentetan itu maka muncullah karya satira pedasnya satu demi satu – mengkritik, sama ada dengan gaya parodi atau sarkastik tanpa gentar dan gemar (fear and favour) pada mana-mana pihak. Muka-muka pemimpin politik pelbagai parti tak kiralah parti pemerintah atau pembangkang, yang mana dia lihat ‘mengarut’ habis dikarikaturkannya menjadi badut. Fahmi menggunakan berbagai kaedah dan gaya persembahan. Meskipun pendekatan seperti Fahmi bukanlah gaya baharu tetapi di tangan kreatifnya ia kelihatan seperti mencetuskan pembaharuan pada konsep kartun satira tempatan. Persembahan yang dibuatnya ringkas, tepat, segar dan terkini – mudah bagi generasi lebih muda menghayatinya. Dia malah menerbitkan buku mewarna ala kanak-kanak dengan aktiviti mewarnakan karikatur pemimpin-pemimpin parti politik tanah air. Ilustrasi dan isi karyanya tidak menghina fizikal atau ‘body shaming’ tetapi dia melukis aksi dan ekspresi wajah politikus ini sebagai respons daripada kenyataan atau aksi daripada politikus itu sendiri yang dilihatnya melucukan seperti ‘itu bukan rasuah, itu sedekah’ atau ‘bukan bailout tetapi pelaburan’.
“Ah! Fahmi macai DAP”.
“Eh! Tapi dia bantai juga DAP!”
“Dia sekarang walaun!”
“Dia hentam Madani sebab tak masyuukkk!”
Kritikan sebegini tidaklah pelik bagi mana-mana pengkarya. Tuduhan oleh sesetengah pihak konon karyawan diupah atau bahasa kasarnya ‘diberi makan dedak’ itu adalah perkara biasa jika karya-karya tersebut tidak menyebelahi pihak mereka. Mungkin di pihak mereka memang wujud karyawan upahan mereka sendiri maka apabila ada pihak lain muncul secara mandiri, mereka tak terfikir yang ia dibuat percuma. Mereka mengesyaki seseorang atau sesebuah kumpulan itu memang ditaja.
Beberapa lukisan karikaturnya pernah dianggap sebagai menggugat ketenteraman awam sehingga dia dilokap dan berhadapan dengan undang-undang.
“Aku nak minta pandangan kau,” kata Fahmi Reza ketika membuat panggilan video kepada saya sekitar tujuh tahun lalu. Ini ekoran daripada sebuah karya grafiknya telah berhadapan kes mahkamah. Fahmi, dalam karya parodi grafiknya telah menggunakan logo sebenar sebuah kementerian untuk berjenaka dan memuat naiknya di media sosial. Jika warganet melihat karya tersebut secara sepintas lalu ia seolah-olah seperti kementerian tersebutlah yang menyiarkan pengumuman itu dengan disertakan tempelan karikatur pemimpin negara bersolek badut. Gambarannya seakan kementerian terbabit telah mempermainkan pemimpin nombor satu mereka sendiri.
Seingat saya sejam lebih juga kami berbual serta bertukar pandangan tentang apa itu satira dan parodi. Ketika itu saya bertugas sebagai editor di majalah kartun Gila-Gila.
“Kalau begitu, bolehkah kau jadi saksi aku nanti di mahkamah untuk terangkan konsep kartun satira dan parodi?” tanya Fahmi.
“Boleh!” kata saya. Sejujurnya, pendirian saya dalam pengistilahan kartun satira dan parodi ketika itu tidak sama dengan Fahmi. Biasanya jika membuat parodi, kami akan membuat sedikit perubahan. Katakanlah kita hendak melukis seseorang sedang mengeluarkan duit di mesin ATM Maybank, kita akan lukis mesin ATM tersebut mengikut warna rasmi Maybank iaitu kuning. Logo harimaunya akan ditukar menjadi kucing dan nama Maybank Kawanku diubah menjadi Maubank Kawanmu tetapi ‘font’ dan grafiknya kekal sama. Pembaca yang faham sudah pasti akan dapat mengagak sasaran objek yang dilukiskan walaupun kita telah alihkan begitu. Inilah parodi menurut amalan saya.
Dalam hal Fahmi, dia guna logo yang betul. Saya tak biasa dengan hal tersebut tetapi atas semangat solidariti kerana haluan kami sama iaitu ‘melawan’ – maka saya ‘on’!
“Aku tak jadi panggil kau untuk jadi saksi,” kata Fahmi semasa kami terserempak setelah habis menonton konsert rock kumpulan Helloween di pinggir Kuala Lumpur tak lama selepas kami ‘bervideo-call’ itu.
“Jauh, kat mahkamah Ipoh. Aku tak nak menyusahkan kau. Aku lawan sendirilah!” kata Fahmi sambil ketawa. Fahmi diwakili oleh peguam Syahredzan Johan (kini Ahli Parlimen Bangi).
“Ok. Cool,” kata saya. Aduh! Dalam dia berdepan dengan masalah mahkamah, dia masih boleh berfikir untuk tak mahu memberikan masalah kepada orang lain pula.
Dengarnya di mahkamah, dia memilih untuk membuat penghujahan sendiri dengan membawa ‘mock-up’ majalah Gila-Gila keluaran nombor 1 pada 1978 sebagai sokongan hujah definisi kepada kartun genre parodi. Kulit muka majalah Gila-Gila keluaran sulung tersebut memaparkan karikatur pelawak AR Badol dan isi di dalamnya terdapat empat muka surat drama Nasib Si Bedul sebagai parodi kepada filem Si Badol yang meletup pada tahun sama. Dia menunjukkan bukti kepada mahkamah bahawa memang wujud komedi parodi.
Saya tidak ikuti kes Fahmi ini secara dekat setelah tidak jadi menjadi saksi tetapi mengikutinya melalui pembacaan di media. Pada mulanya Fahmi didapati bersalah namun akhirnya dia dibebaskan dan dilepaskan.
Tidak seperti saya yang sudah malas melukis kartun politik, Fahmi Reza terus aktif berkarya tidak kira kerajaan mana pun yang mentadbir. Penyokong parti pemerintah yang dahulu meminati karya Fahmi kini mula menyerangnya pula. Kalau dulu karya Fahmi dianggap bijak, kini dikatakan bodoh. Sementara itu penyokong parti pembangkang pula seronok dengan perkembangan ini walaupun kerap juga tersakiti akibat hentaman satira Fahmi terhadap pemimpin mereka. Pada ketika itu penyokong pembangkang mengecop Fahmi kartunis cari makan dengan kerajaan. Mana satu ni?
Secara peribadi, karya satira pedas gaya Fahmi Reza perlu ada dalam senario politik tanah air kita. Dalam perkembangan dunia grafik digital yang telah melupakan pen dan kertas sebaliknya kita melukis di atas skrin gajet, lukisan Fahmi Reza meskipun menggunakan medium digital tetapi identiti lukisannya seolah-olah dilukis atas kertas, bukan digital. Ketika ramai karyawan yang tiada bakat melukis dan mereka cipta muncul menggunakan AI, yang mana tidaklah salah tetapi identiti grafik gaya Fahmi Reza perlu ada untuk menyeimbangkannya. Tidaklah kita hanya sibuk tergoda dengan kecantikan grafik janaan AI sahaja, gaya lama perlu dipertahankan. Dari segi idea bersatira, itulah sepatutnya kerja seorang seniman.
Seniman harus memainkan peranan membawa suara rakyat yang mengeluh di telinganya dan dengan tangan seninya, dia menghasilkan karya untuk menghantar isyarat kepada pemerintah. Bagi kerajaan hari ini, apa yang hendak ditakutkan? Lagipun, gerakan reformasi ini jugalah yang pernah melaungkan kebebasan bersuara dan berbeza pendapat.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata: “Kerajaan tegas dengan pendirian tidak campur tangan dalam soal kreativiti dan percambahan idea serta nilai dalam karya seni tempatan.” – (Free Malaysia Today, 13 Jun 2024).
Anwar juga pernah memberikan kenyataan: “Karya seni perlu bebas meskipun bersifat kritikal kepada kekuasaan.” – (Utusan Malaysia, 19 Dis 2024)
Jadi, karya Fahmi Reza patut dilayan oleh pengamat politik tak kira di kem sebelah mana pun apatah lagi bagi penyokong kerajaan. Tak usah cepat menggelabah dan rasa tergugat. Dahulu reformis menuntut perlunya kuasa ketiga untuk semak dan imbang. Kartun editorial adalah salah satu antara cabang kaedahnya. Dulu kita kata lawan hujah dengan hujah. Maka hari ini, lawanlah kartun satira Fahmi dengan kaedah yang sama. Biar seni jadi medan perlawanan idea untuk rakyat teliti dan buat pertimbangan. Eh, bukankah rakyat hakim negara?
Selama mana Fahmi Reza konsisten dengan pendiriannya dalam menghasilkan karya-karya satira sebegitu, hanya masa menentukan. Ada karyawan sudah berubah, jika dulu karyanya menentang sesuatu kini sikapnya melunak kerana kerajaan hari ini adalah kerajaan yang sangat dia dokong. Karyawan yang sudah malas berbuat apa-apa pun ada. Sayalah orangnya. Terdengar kata-kata warganet, kini tinggal Fahmi Reza sahaja yang benar-benar berani dan neutral. Itu saya tidak pasti tetapi yang saya pasti ialah saya sentiasa menunggu karya terbarunya yang pedas dan menyentap dalam mengomen isu semasa. Tanpa segan-silu saya mengaku bahawa saya adalah peminat nombor satu Fahmi!
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.