
Selepas 59 tahun sepi tanpa pengunjung, jambatan kayu kuno, Gartang Gali di lembah Nelong dekat daerah Uttarkashi, Uttarakhand kini dibuka semula kepada pelancong.
Memiliki anak tangga sepanjang 150 meter, jambatan kayu Gartang Gali yang terletak pada ketinggian 3,353 meter (11,000 kaki) dan dibina dengan kos 64 lakh pada Julai itu, mula dibuka kepada pelancong Rabu lalu.
Gartang Gali di Uttarkashi dibina oleh orang Pathans dari Peshawar, kira-kira 150 tahun lalu dan ditutup kepada pelancong pada 1962 akibat tercetusnya perang Indo-China.
Selepas perang Indo-China tamat pada 1962, pentadbiran telah melarang sebarang pergerakan pelancong ke daerah Uttarkashi.
Pada 2015, pentadbiran kembali membuka semula lembah Nelong kepada pelancong.
Dibina khusus untuk tujuan perdagangan dengan Tibet sebelum kemerdekaan, jambatan itu digunakan untuk membawa bulu biri-biri, pakaian kulit dan garam ke Badahat.
Majistret Daerah Uttarkashi, Mayur Dikshit berkata mengikut garis panduan Covid-19 terkini, hanya 10 orang saja yang dibenar melalui jambatan itu pada satu-satu masa.
“Pembukaan laluan Gartang Gali ternyata menambah dimensi baharu kepada aktiviti pelancongan berkonsep ‘adventure’ di negeri ini.
“Selain berperanan sebagai lambang sejarah dan kepentingan strategik, Gartang Gali adalah bukti hubungan perdagangan yang akrab antara negeri tersebut dengan jirannya sejak berkurun lalu,” kata menteri pelancongan Uttarakhand, Satpal Maharaj.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]