Hubungan erat AS-China jadikan Malaysia penghubung blok ekonomi

Hubungan erat AS-China jadikan Malaysia penghubung blok ekonomi

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata hubungan itu bertepatan dalam suasana dagang global yang makin berpecah dan tidak menentu.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim tiba di Gyeongju, Korea Selatan, bagi menghadiri Mesyuarat Pemimpin-pemimpin Ekonomi Apec. (Gambar PMO)
GYEONGJU:
Anwar Ibrahim berkata pendekatan seimbang Malaysia yang mengekalkan hubungan erat dengan Amerika Syarikat (AS) dan China, berjaya meletakkan negara sebagai jambatan menghubungkan pelbagai blok ekonomi di rantau ini.

Langkah ini yang turut berpaksikan kerjasama serantau melalui Asean dan platform seperti Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (Apec) dilihat bertepatan dalam suasana perdagangan global yang semakin berpecah dan tidak menentu, kata perdana menteri dalam kenyataan, malam ini.

Terdahulu, Anwar yang baru sahaja tiba untuk lawatan kerja sempena Mesyuarat Pemimpin-pemimpin Ekonomi Apec (AELM) malam ini, menerima Laporan Tahunan Majlis Penasihat Perniagaan Apec 2025 daripada Pengerusi Abac Malaysia Ruben Emir Gnanalingam.

Beliau memberitahu akan meneliti laporan itu untuk dijadikan input penting dalam perbincangan dasar sepanjang AELM, khususnya dalam memperjuangkan agenda yang berpaksikan kesejahteraan rakyat, keadilan ekonomi, dan pembangunan serantau yang seimbang.

“Laporan ini menghimpunkan pandangan serta aspirasi komuniti perniagaan di seluruh ekonomi Asia Pasifik kepada para pemimpin ekonomi Apec dengan hasrat untuk memperkukuh pertumbuhan yang inklusif dan mampan, mempertingkat daya saing perniagaan serta memastikan manfaat kemakmuran dapat dinikmati oleh seluruh lapisan masyarakat.

“Seruan laporan ini terhadap perdagangan terbuka berasaskan peraturan adalah selari dengan dasar keterlibatan Malaysia yang berkecuali dan pragmatik,” kata Anwar yang juga menteri kewangan.

Beliau kini dalam rangka lawatan kerja selama tiga hari bermula malam ini.

Anwar dijadualkan menyampaikan kenyataan rasmi negara semasa Dialog Pemimpin-pemimpin Ekonomi Apec bersama tetamu dengan penekanan akan diberikan mengenai kepentingan keterangkuman dalam memperkukuh rantaian bekalan, pembangunan ekonomi digital, dan kerjasama serantau untuk pembangunan mampan.

Di sela-sela AELM, perdana menteri juga dijangka mengadakan pertemuan dua hala dengan beberapa wakil ekonomi APEC.

Turut menjadi tumpuan, pertemuan Anwar dengan bakal pelabur terdiri daripada syarikat Namhae Chemical Corp dan JS Link secara berasingan selain pertemuan dengan wakil daripada Nvidia dan YTL Power.

Perdana menteri kemudiannya akan menghadiri majlis makan malam bersama Pemimpin-pemimpin Ekonomi Apec sebelum mengakhiri hari tersebut dengan sidang akhbar.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.