
Sebuah kompleks mandi yang digunakan ketika zaman Rom kuno ditemui masih terpelihara di sebuah kawasan pesisir pantai Caños de Meca di wilayah Andalusia, selatan Sepanyol.
Kompleks terbabit ditemui oleh sekumpulan penyelidik dari University of Cádiz (UCA) dengan saiz tinggi lebih 3.9 meter, kata universiti itu dalam satu kenyataan yang dikeluarkan.
Mereka mengganggarkan keluasan tapak kompleks terbabit mencecah lebih 2.5 ekar dan sehingga kini penggalian hanya dilakukan di dua bilik kompleks berkenaan manakala bahagian lain masih belum disentuh.
“Dinding pada dua bilik yang digali itu tertanam dalam pasir selepas ditinggalkan sejak lewat zaman kuno,” kata UCA.
Selain itu, mereka turut menemui beberapa tinggalan seramik dari abad ke-12 dan 13 berhampiran kawasan kompleks tersebut.
Manakala, di kawasan penggalian berasingan di Cape Trafalgar, sekurang-kurangnya tujuh kolam zaman Rom turut ditemui yang dipercayai pernah digunakan untuk mengawet makanan.
Pihak universiti itu menjelaskan, masih terdapat tinggalan makanan awet dalam dua daripada tujuh kolam berkenaan.
Menteri Budaya Andalusia, Patricia del Pozo berkata, penemuan itu adalah satu perkara menakjubkan sekali gus membuktikan wilayah terbabit mempunyai tarikan sejarah tersendiri.
Penyelidik itu dilaporkan turut menemui makam pra-sejarah di tapak pengebumian berusia 4,000 tahun bersama mayat beberapa individu dari zaman berkenaan.
Tahun lalu, pihak berkuasa secara tidak sengaja menemui koleksi bekas yang digunakan ketika zaman Rom Kuno dikenali sebagai amphorae, ketika memeriksa sebuah kedai makanan laut di Alicante, timur Sepanyol.
Penemuan bekas terbabit kemudiannya dimaklumkan kepada menteri pendidikan, budaya dan sukan Sepanyol yang mengesahkan kemungkinan ia berasal dari Empayar Rom.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]