
Monumen bersejarah terkenal di Itali, Colloseum akan dinaik taraf dengan pemasangan lantai baru di bahagian tengah bangunan itu bagi membolehkan pelancong berjalan di kawasan arena struktur terbabit.
Langkah itu memberi peluang pelancong merasai pengalaman baru sambil berada di ruang yang pernah menjadi tempat pertarungan pahlawan gagah ketika zaman Rom.
Projek itu akan dilaksanakan oleh sebuah syarikat kejuruteraan Itali, Milan Ingegneria selepas berjaya mendapat kontrak bernilai 18.5 juta euro (RM91.5 juta) dan ia dijangka siap menjelang 2023.
Menurut Kementerian Kebudayaan Itali, ia adalah projek berteknologi tinggi bagi memberi nafas baru terhadap lokasi tumpuan pelancong terkenal dunia itu.
“Ia adalah satu projek yang luar biasa. Selepas ini anda boleh berjalan di tengah Colosseum dan melihat pemandangan sama seperti dirasai oleh penonton ketika akhir abad ke-19 dulu,” kata Menteri Budayanya, Dario Franceschini.
Bahagian lantainya sebelum ini dikeluarkan oleh ahli arkeologi untuk menunjukkan ruang bilik serta koridor yang terletak di bawah arena berkenaan.
Sejak itu, ia tidak pernah diganti baru dan pemasangan lantai ini adalah kali kedua pernah dilakukan setakat ini.
Apa yang unik mengenai projek itu ialah, ruang arena akan dipasang dengan lantai diperbuat daripada ratusan kepingan kayu yang boleh berputar untuk membawa cahaya ke bilik bawah tanah.
Satu ketika dulu, bilik bawah tanah terbabit pernah digunakan oleh pahlawan selain menempatkan pelbagai haiwan sebelum memulakan pertarungan maut.
Colloseum adalah lokasi pelancongan popular yang menarik kehadiran kira-kira 7.6 juta pelancong pada 2019 sebelum pandemik Covid-19 melanda.
Monumen diperbuat daripada batu itu dibina sekitar 2,000 tahun lalu dan menjadi pentas terbesar ketika zaman kegemilangan Empayar Rom.
Ia mempunyai sebanyak 70,000 tempat duduk dan menjadi lokasi penganjuran pertarungan pahlawan, tempat pelaksanaan hukuman serta tempat memburu haiwan selain boleh diisi dengan air untuk mencipta semula suasana pertempuran dalam laut.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]