Janji PRN Sabah akan dilaksana mulai bulan ini, jamin PM

Janji PRN Sabah akan dilaksana mulai bulan ini, jamin PM

Mesyuarat penyelarasan pantau pelaksanaan projek utama akan diadakan setiap bulan, kata perdana menteri.

PM Anwar Ibrahim turut beri jaminan Projek Lebuh Raya Pan Borneo antara Sabah dan Sarawak akan diteruskan dengan teratur dan mengikut jadual. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Perdana Menteri Anwar Ibrahim memberi jaminan semua janji PRN Sabah, terutamanya naik taraf prasarana, akan mula dilaksanakan bulan ini.

Beliau menambah, mesyuarat penyelarasan untuk memantau pelaksanaan projek utama akan diadakan setiap bulan.

“Kalau ada 250 projek utama, maka mesti dipantau setiap projek itu. Mesyuarat setiap bulan di peringkat persekutuan dan negeri,” katanya pada Majlis Perasmian Penutupan Program Rancakkan Madani Bersama Malaysiaku dan Konvensyen Nasional Reformasi Perkhidmatan Awam 2025 di sini pada Ahad, lapor Sinar Harian.

“Kita janji dalam tempoh seminggu kita turun, menetapkan kaedah pelaksanaan, kerana di sana masih terbelenggu masalah api, air dan jalan.”

Dalam pada itu, beliau turut memberi jaminan Projek Lebuh Raya Pan Borneo antara Sabah dan Sarawak akan diteruskan dengan teratur dan mengikut jadual.

“(Lebuh Raya) Pan Borneo di mana RM6.9 bilion untuk Sabah dan RM6 bilion untuk Sarawak itu akan diteruskan dengan lebih teratur dan berkesan.

“Tahniah … sudah beres dengan jayanya di Sarawak dan kita setuju untuk berikan laluan red line tambahan ke Sarawak dan ke Sabah.” katanya.

Mengulas PRN Sabah minggu lepas, pengerusi Pakatan Harapan itu memuji pengundi Sabah yang berjaya memilih wakil rakyat mereka secara aman dan damai.

“Bayangkan Sabah dengan suku kaum berbeza, fahaman agama berbeza, berentap dalam pemilihan tegang, tetapi menjadi contoh kepada negara kita,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.