
Beliau berkata, sebanyak RM65 juta diperuntukkan bagi pembinaan sebuah kompleks klinik pakar dan naik taraf Hospital Angkatan Tentera, di pangkalan itu.
Turut diluluskan ialah projek naik taraf sistem agihan bekalan voltan tinggi (33kV) dengan peruntukan RM100 juta, penggantian tangki operasi ‘Bulk Fuel Installation’ (BFI) dengan peruntukan RM23.3 juta dan naik taraf jeti operasi Tambatan Pangkalan Lumut dengan peruntukan RM66.5 juta.
“Yang ini (kompleks klinik pakar dan menaik taraf hospital) saya minta setiausaha kerajaan negeri yang ada di sini, supaya segera dilaksanakan. Peruntukan telah kita luluskan, juga tambah baik lain yang kita buat untuk kesejahteraan warga tentera laut,” katanya.
Perdana menteri berkata demikian pada Program Kenduri Rakyat Menyantuni Warga Tentera Laut Lumut sempena Program Madani Rakyat 2025 Perak, yang turut dihadiri Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil dan Panglima Tentera Laut Zulhelmy Ithnain.
Anwar yang juga menteri kewangan berkata sebelum ini, sejumlah projek penyelenggaraan berjaya dilaksanakan di pangkalan itu, antaranya sistem perpaipan bekalan air tawar; pembinaan Pusat Anak Permata Negara (PAPN); pembaikan cerun di Bukit Perwira; pemasangan sistem perlindungan kilat di Depot Peluru dan Bahan Letupan; pembaikan menyeluruh Rumah Keluarga A33, A37, A16 dan A22; serta Pengerukan Jeti Operasi.
“Menurut komandan, peningkatan sistem perpaipan bekalan air tawar ini belum siap sepenuhnya, dan naik taraf beberapa rumah juga ada kelewatan, yang lain semua telah siap, ini perkembangan baik,” katanya.
Perdana menteri berkata, program ekonomi Madani di pangkalan tentera laut Lumut menerima peruntukan sebanyak RM65,000 bagi projek pertanian bandar cendawan dengan kerjasama Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan RM50,000 untuk projek ternakan madu kelulut dengan kerjasama Universiti Malaysia Terengganu (UMT).
“Kita ada juga ‘Work-Based Learning’ (WBL) iaitu inisiatif pengiktirafan pengalaman angkatan tentera dengan kelayakan bertaraf sekurang-kurangnya diploma.
“Untuk diploma, kita beri ruang kepada anak-anak kita untuk meningkatkan pendidikan selain daripada latihan khusus dalam bidang kecerdasan buatan (AI) dan digital, kita sediakan beratus juta ringgit untuk latihan,” katanya.
Naik taraf 34 sekolah di kem
Dalam pada itu, Anwar berkata peruntukan khas turut diluluskan untuk menaik taraf 34 sekolah di kem-kem keselamatan dan pangkalan tentera, termasuk tandas dan makmal bagi memberi keselesaan kepada anak-anak anggota.
“Kita telah putuskan untuk kem-kem sahaja RM20 juta (peruntukan), saya tidak mahu anak-anak kita di kem, bapaknya bertarung nyawa di laut berminggu-minggu, berbulan-bulan ataupun pesawat udara, maka (anak) mereka perlukan tempat selesa untuk belajar,” kata Perdana Menteri.
Pada majlis sama, Anwar turut menyampaikan sumbangan daripada Pejabat Perdana Menteri kepada 98 pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024, yang terdiri daripada anak-anak warga tentera laut.
Lebih 1,500 warga tentera laut dan tetamu menghadiri majlis tersebut.