Zip Line, Laman Budaya Air Pancut Muzikal dibuka kepada pengunjung

Zip Line, Laman Budaya Air Pancut Muzikal dibuka kepada pengunjung

Selangor tambah dua lagi produk pelancongan khusus untuk warga Shah Alam.

Aktiviti Zip Line yang boleh disertai pengunjung. (Gambar Bernama)

Selepas kejayaan pembukaan Taman Persahabatan Selangor-Jepun awal bulan ini, Selangor sekali lagi dirancakkan dengan dua produk pelancongan baru mereka sebagai destinasi pilihan orang ramai.

Dua produk itu ialah Zip Line (terbang kelawar atau flying fox) Shah Alam dan Laman Budaya Air Pancut Muzikal di Taman Tasik Shah Alam yang dibuka kepada pengunjung bermula bulan ini.

Menurut Pemangku Datuk Bandar Shah Alam, Mohd Rashidi Ruslam dalam sembah ucapannya berkata, pembukaan dua produk pelancongan bermula 1 April itu bertujuan memacu dan memperkasa sektor pelancongan tempatan khususnya di Shah Alam.

Katanya, pengunjung yang ingin menyertai aktiviti zip line sepanjang 240 meter itu dibenarkan masuk secara percuma bermula 1 hingga 4 April sempena pembukaan aktiviti sukan lasak itu.

“Zip Line Shah Alam akan beroperasi mulai 1 hingga 12 April bermula jam 10 pagi hingga 6.30 petang (Isnin dan Jumaat), 8.30 pagi hingga 6.30 petang (Sabtu dan Ahad).

“Manakala bermula 14 April hingga 10 Mei pula ia bermula dari jam 2 petang hingga 6.30 petang (Isnin hingga Ahad).

“Warga Shah Alam juga akan menerima pengurangan harga tiket sebanyak RM5 sepanjang masa daripada RM20 hingga RM40 (mengikut kategori), pelajar RM20 bagi dua sesi (terjunan),” katanya ketika sembah ucap Majlis Perasmian Zip Line Shah Alam dan Laman Budaya Air Pancut Muzikal di Laman Budaya.

Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah berkenan berangkat merasmikan majlis itu.

Hadir sama Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari.

Mohd Rashidi juga berkata, pancuran berirama Laman Budaya Air Pancut Muzikal yang terletak di Tasik Barat di taman tasik itu akan bermula pada 2 April iaitu setiap Jumaat, Sabtu, Ahad dan cuti umum dari 8.15 malam hingga 10 malam.

Katanya, pancuran dengan struktur air pancut sepanjang 30 meter itu dilengkapi sistem pencahayaan diod pancaran cahaya (LED) berwarna-warni, audio dan pergerakan beralun mengikut rentak muzik.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.