Tentang alam dan kehidupan di Sekincan

Tentang alam dan kehidupan di Sekincan

Sekinchan sebenarnya adalah perkampungan nelayan namun lebih dikenali sebagai kawasan sawah padi.

Selain pengeluar padi tertinggi di Malaysia, Sekinchan juga kaya dengan hasil bumi seperti buahan-buahan dan hasil laut. (Gambar Tourism Selangor)

Sekinchan terletak kira-kira 90km dari bandar Shah Alam dan merupakan pengeluar padi tertinggi dan pembekal utama di Malaysia.

Sekinchan dalam bahasa Cina bermaksud ‘kampung yang sesuai untuk perladangan’ dan sememangnya ia mempunyai bendang sawah yang luas dan menakjubkan.

Secara kasarnya, Sekinchan sebenarnya adalah perkampungan nelayan tetapi ia lebih dikenali sebagai kawasan sawah padi.

Di sini, anda boleh memandu tepat bersebelahan sawah dan terdapat jalan raya yang menghubungkan bandar ini dengan kampung kecil yang terletak di tengah sawah.

Sepanjang perjalanan, anda akan menemui jalan air (saluran air), jambatan kecil, burung dan tentu sekali padi.

Terdapat juga kilang yang membenarkan lawatan. Kakitangan mereka akan memberi penerangan mengenai proses penanaman padi, jenis padi dan sebagainya. Anda juga boleh membeli beras di sini yang tidak terdapat di pasar.

Selain beras, anda juga boleh mendapatkan mangga di gerai-gerai sepanjang jalan utama di Sekinchan.

Di seberang jalan adalah perkampungan nelayan. Anda juga boleh singgah untuk melihat bot nelayan dan jeti atau berhenti sejenak untuk mendapatkan hasil makanan laut.

Mari kita terokai khazanah alam di Sekinchan.

1. Sawah padi di Sekinchan

Sekinchan adalah perkampungan nelayan dan padi yang terkenal di Selangor. (Gambar Tourism Selangor)

Sekinchan adalah perkampungan nelayan dan padi yang terkenal di Selangor. Perkampungan nelayan ini terletak di sebelah barat di tepi laut sementara sawahnya meluas di sepanjang jalan.

Padi memerlukan air yang banyak untuk tumbuh. Sawah dan saluran pengairan di antara keduanya adalah lahan basah buatan manusia dan keistimewaan perkampungan nelayan dan padi ini dikurniakan punca air tawar dan air laut sebagai sumber kehidupan penduduk.

Padi di Sekinchan dituai dua kali setahun – iaitu pertengahan tahun (sekitar Mei dan Jun) dan akhir tahun (sekitar November dan Disember). Proses penyemaian dilakukan antara bulan Mac dan April serta bulan Ogos dan September.

Sawah adalah hamparan hijau yang luas selama berbulan-bulan sewaktu menyemai dan berubah menjadi lautan keemasan selama musim menuai.

SAWAH PADI SEKINCHAN
Pekan Sekinchan,
Sekinchan, Selangor,
Malaysia.
Hubungi: 03-32241655

2. Galeri Padi

Kilang pembekal beras di Sekinchan. (Gambar Tourism Selangor)

Kilang Sekinchan Rice Mill dimiliki dan dikendalikan oleh PLS Group. Dahulu ianya dikenali sebagai Pengangkutan & Perniagaan Lim Sekinchan (M) Sdn. Bhd.

Operasi awalnya adalah pengangkutan beras dan kini, syarikat tersebut telah berkembang menjadi pembekal beras dan yang perniagaan bersangkutan dengan padi.

Syarikat ini turut menyumbangkan usaha dalam mengembangkan industri pertanian dan membantu para petani untuk meningkatkan kualiti pengeluaran dan juga menyelesaikan sebahagian besar masalah pertanian.

SEKINCHAN RICE MILL
Sekinchan, Selangor
Malaysia.
Hubungi: 016-2056558
Waktu operasi: 9 pagi hingga 5 petang

3. Ladang Mangga

Ladang yang dibangunkan oleh penduduk tempatan di sini menghasilkan mangga yang manis dan enak dimakan. (Gambar Tourism Selangor)

Ladang Mangga terletak di Kampung Sungai Limau, Sungai Besar. Jaraknya sekitar 6 kilometer dari Pekan Sungai Besar atau 40 kilometer dari Pekan Sekinchan.

Ladang ini dibangunkan oleh penduduk setempat. Pokok mangga yang ditanam di sini mempunyai buah-buahan yang dihasilkan secara produktif yang manis dan enak dimakan.

Sekiranya anda dalam perjalanan dari Kuala Selangor ke Hilir Perak atau sebaliknya di mana anda melalui Sungai Besar, maka anda tidak terlepas dari gerai buah di pinggir jalan yang menjual pelbagai jenis buah terutamanya mangga.

Walaupun pokok mangga ini bukanlah paling tinggi, tetapi buah yang dihasilkan adalah bermutu dan dapat dimakan dengan baik.

Apabila musimnya, pemilik ladang biasanya akan menawarkan pengunjung untuk mengunjungi ladang untuk menikmati mangga yang dipetik secara terus dari pokok.

Bayaran yuran sangat murah. Jadi datang dan kunjungilah Ladang Mangga Sungai Limau, Sungai Besar.

LADANG MANGGA,
Kampung Sungai Limau,
Sungai Besar, Selangor,
Malaysia.
Hubungi: 03-32241655

Waktu operasi: 9 pagi hingga 5 petang

4. “Wishing Tree”

Pokok ‘hajat’ yang menjadi tarikan pelancong di sini. (Gambar Tourism Selangor)

Sekinchan Wishing Tree yang terletak di Pantai Redang Sekinchan adalah salah satu tarikan pelancongan utama di sini.

Ini merupakan pokok ‘hajat’ lama yang yang dililit dengan pita merah, diikat dengan duit syiling.

Pengunjung boleh menulis hajat mereka pada pita merah dan mengikat dengan duit syiling dan melemparkannya ke atas.

Dikatakan bahawa semakin tinggi pita dan syiling tergantung di atas pokok, semakin tinggi kemungkinan ‘hajat’ yang dibuat akan menjadi kenyataan.

Namun, ia hanyalah mitos dan sekadar dijadikan tarikan pelancongan semata-mata.

SEKINCHAN WISHING TREE
Jalan Jpt,
Sekinchan, Selangor,
Malaysia.
Hubungi: 03-32241655

Untuk informasi lanjut, layari laman sesawang rasmi Tourism Selangor di www.selangor.travel

Tourism Selangor adalah cabang pelancongan Kerajaan Negeri yang ditubuhkan untuk meningkatkan bilangan pelancong tempatan dan antarabangsa ke Negeri Selangor dengan membangunkan keindahan dan keunikan tersendiri Negeri Selangor. Banyak inisiatif telah diambil untuk mencapai matlamat ini seperti menganjurkan kempen di peringkat domestik dan antarabangsa, mengadakan misi perdagangan pelancongan yang dilakukan di luar negara, melancarkan misi jelajah dan kembara serta banyak lagi.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.