Didakwa salah guna jawatan, anggota bomba direman 7 hari

Didakwa salah guna jawatan, anggota bomba direman 7 hari

Lelaki itu didakwa meminta RM12,000 daripada seorang pesawah kerana mengusahakan sebahagian tanah milik jabatannya sebagai sawah padi.

Sumber SPRM berkata bekas ketua sebuah balai bomba dan penyelamat di Perlis itu ditahan kira-kira 4 petang semalam ketika hadir memberi keterangan. (Gambar Bernama)
KANGAR:
Seorang anggota bomba direman tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes salah guna jawatan melibatkan sewaan sebahagian tanah untuk diusahakan sebagai sawah padi milik jabatannya di negeri itu pada 2023 dan 2024.

Sumber Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memaklumkan tahanan reman itu dibenarkan Majistret Mahkamah Kangar, Ana Rozana Mohd Nor terhadap lelaki berusia 49 tahun berkenaan susulan permohonan reman SPRM Perlis hari ini.

“Lelaki ini ditahan kira-kira 4 petang semalam di Pejabat SPRM Perlis semasa hadir memberi keterangan,” kata sumber itu.

Anggota bomba berkenaan dipercayai menggunakan kuasanya pada 2023 dan 2024 sebagai ketua sebuah balai bomba dan penyelamat di Perlis meminta wang sewaan tanah sebanyak RM12,000 bagi empat musim penanaman padi daripada seorang pesawah.

“Sebahagian tanah yang diusahakan menjadi sawah padi ini milik jabatannya, tetapi lelaki ini dipercayai menyewa tanah berkenaan menggunakan kedudukannya sebagai ketua balai bomba ketika itu tanpa kebenaran pihak jabatan.

“Dia dipercayai meminta RM3,000 bagi setiap musim daripada pesawah terbabit dan penjawat awam ini disyaki menerima wang sewaan secara tunai.”

Pengarah SPRM Perlis, Mohd Nor Adha Ab Gani, mengesahkan penahanan itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009 kerana disyaki salah guna jawatan untuk kepentingan peribadi.

Pada 11 Feb lalu, media melaporkan lelaki itu direman enam hari bagi membantu siasatan kes mengemukakan tuntutan palsu berkaitan kehadiran kerja anggota bantuan di balai kira-kira RM30,000 antara November 2023 hingga Februari 2024.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.