Sanusi tolak RM41 juta, tuntut RM157 juta kekal tanah sawah

Sanusi tolak RM41 juta, tuntut RM157 juta kekal tanah sawah

Menteri besar Kedah berkata negeri bukan mahu 'wang percuma', namun tuntut kehilangan hasil negeri sejak berdekad lalu.

Menteri Besar Kedah Sanusi Nor berkata pengekalan kawasan sawah  menyebabkan kehilangan hasil lebih RM1 bilion cukai melalui penukaran status tanah kepada komersial. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Menteri Besar Kedah Sanusi Nor menolak bayaran insentif khas RM41 juta sebagai timbal balik pengorbanan negeri mengekalkan tanah sawah, sebaliknya mahu diberi sekurang-kurangnya RM157 juta.

Beliau menegaskan, Kedah bukan meminta ‘duit percuma’, tetapi menuntut kehilangan hasil ditanggung negeri sejak puluhan tahun.

Sanusi berkata demikian mengulas nilai insentif dicadangkan PLANMalaysia menerusi Pelan Induk Perancangan Guna Tanah Kawasan Sumber Makanan Negara (KAGUMN), yang disifatkan terlalu rendah.

“Jika kita ambil kira kaedah atau nilai insentif dibangunkan KAGUMN, ia mengambil 0.1% sebagai pemboleh ubah daripada nilai setiap hektar tanah dibangunkan yang mana satu hektar nilainya RM400,000.

“Kita tidak minta satu peratus, kita minta 0.38%. Kita boleh dapat RM157 juta kalau 0.38%,” katanya menurut Kosmo di sidang DUN Kedah di Wisma Darul Aman, Alor Setar.

Justeru, beliau memohon kerajaan persekutuan mempertimbangkan hasrat negeri selaras titah Sultan Kedah Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah tahun lalu, antara lain menzahirkan bayaran insentif RM200 juta.

“Hujahan-hujahan yang telah saya buat sebelum ini kalau ditukar seluruh kawasan tanah padi kepada komersial, kita akan dapat RM1.7 bilion cukai tanah,” katanya.

Katanya, permohonan Kedah adalah munasabah mengambil kira kepentingannya sebagai Jelapang Padi negara.

Sanusi berkata, kerajaan negeri akan terus memperjuangkan permohonan tersebut yang ketika ini masih di peringkat pertimbangan kerajaan persekutuan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.