Benar pelarian Rohingya bekerja di Malaysia, kata aktivis

Benar pelarian Rohingya bekerja di Malaysia, kata aktivis

Rohingya boleh menyumbang kepada ekonomi negara sambil menyara kehidupan mereka sendiri, kata Pengarah Eksekutif Tenaganita Glorene Das.

Menurut MAFI, lebih 200 warga Rohingya menguruskan sawah padi di seluruh negara. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Sebuah kumpulan aktivis menggesa agar komuniti Rohingya diambil bekerja dalam sektor yang cenderung dijauhi oleh rakyat Malaysia.
Glorene Das.

Mengulas aduan Ahli Parlimen Jempol Salim Sharif mengenai pendatang Rohingya menguruskan sawah padi di Malaysia, Pengarah Eksekutif Tenaganita Glorene Das memberitahu FMT: “Realitinya, faktor seperti wabak telah melambatkan pengambilan pekerja asing dan warga Rohingya boleh menyumbang kepada ekonomi negara sambil menyara kehidupan mereka sendiri.”

Bagaimanapun beliau menggesa agar dasar pekerjaan digubal untuk mencegah eksploitasi pekerja pelarian dengan berkata, peningkatan kes pelanggaran undang-undang buruh dalam beberapa sektor menyebabkan perkara ini diperlukan.

Semalam, semasa sesi perbahasan di Dewan Rakyat mengenai Rang Undang-undang Perbekalan 2022, Salim berkata: “Orang Rohingya ini menjadi tauke padi. Dalam beberapa tahun lagi, mereka mungkin mengawal lebih banyak sawah padi.”

John Quinley.

Bercakap kepada FMT, aktivis John Quinley dari Fortify Rights berkata, kerajaan harus menghalang sentimen antipelarian dan antimigran.

Beliau berkata, ia sebaliknya perlu menyokong kerjasama antara rakyat Malaysia dan warga Rohingya dalam semua bidang.

Naib Pengerusi Persatuan Pertanian Alami Adi Setia berkata, dengan mengabaikan tenaga kerja pelarian, kerajaan tidak berpandangan jauh.

“Membenarkan warga Rohingya bekerja di sawah padi akan menangani beberapa isu berkaitan pelarian dengan berkesan,” katanya.

“Sudah tentu, rangka kerja undang-undang mesti disediakan untuk memastikan warga Rohingya tidak dieksploitasi.”

Menurut Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), lebih 200 warga Rohingya menguruskan sawah padi di seluruh negara.

Secara rasmi, terdapat 103,090 pelarian Rohingya di Malaysia.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.