
Inilah yang dialami oleh Lua Bo Feng dan Irene Wong. Perniagaan makanan mereka terjejas sehingga memaksa pasangan suami isteri ini memikirkan cara lain untuk mencari sumber pendapatan sambil mengisi masa terluang di rumah.

Bila duduk di rumah, ramai yang menjadi ‘chef’, memang masakan ibu yang terbaik tetapi sekali-sekala ingin juga mencuba masakan restoran cuma Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) membataskan pergerakan.
Bila memikirkan keadaan ini, Irene mula mendapat idea untuk membuat servis penghantaran ‘kit bahan masakan’. Dia tahu ramai yang ingin mencuba masakan restoran dengan hasil tangan sendiri.
Dengan bantuan Lua, mereka kemudian mendapat idea dengan memberi nama “Jom Masak” untuk servis penghantaran bahan makanan.
Mereka kemudian mula memasarkan Jom Masak pada bulan May dan Jun.
Nampak mudah, namun agak sukar kerana konsep Jom Masak adalah menyediakan bahan masakan dan mereplikasikan sesuatu jenis masakan mengikut rasa yang sama.
“Mereplikasikan rasa makanan dan menjadikan ia berskala adalah sesuatu yang sukar kerana itulah selepas lima bulan, kami hanya ada lima jenis makanan sahaja,” terang Lua.

Apa yang membezakan “kit makanan Jom Masak” dari khidmat penghantaran makanan yang ada di pasaran adalah Jom Masak menawarkan pelbagai jenis masakan antarabangsa dari Korea, Itali, Span, India dan Arab.
Dengan semua masakan tersebut anda akan berasa seperti berkembara ke seluruh dunia tanpa perlu meninggalkan dapur anda.
“Masakan-masakan ini agak susah untuk “ditiru”. Ia mengandungi bahan-bahan yang khusus dan memerlukan beberapa tahap kepakaran untuk menciptanya sehingga menghasilkan rasa yang sama.
“Mencari dan menyelidik sesuatu resepi itu bukan mudah. Untuk meniru masakan ayam mandi dari Arab saja, saya terpaksa merasa setiap herba untuk memahami apa yang menyedapkan masakan tersebut,” ujar Lua.
Malah, menurut Lua, dia mengambil masa sebulan untuk menyiapkan masakan briyani yang sempurna.

Menurut pasangan ini lagi, Jom Masak membantu anda berjimat dari pembaziran,”Selalunya apabila kita ingin makan sesuatu masakan, kita akan pergi membeli bahan-bahannya dan ia selalunya datang dalam kuantiti yang banyak tetapi kita hanya mahu gunakan jumlah yang sedikit sahaja. Di sinilah Jom Masak memainkan perananya,” ujar Lua lagi.

Kit Jom Masak paling popular dari Lua adalah kit paella. “99% pelanggan telah membeli kit paella.” katanya.

Bagi mereka yang baru belajar memasak atau ingin mengembangkan bakat memasak, bolehlah bermula dengan Jom Masak “kimchi-jjigae” yang agak mudah untuk disediakan. Kemudian anda boleh mencuba “risotto” diikuti dengan “paella”, briyani dan yang paling sukar “ayam mandi”.
“Perniagaan agak baik dari Jun hingga Ogos tetapi selepas Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPK) dilaksanakan permintaan makin meningkat sehingga kami terpaksa menghantar 30 hingga 40 kotak setiap penghantaran.
Seminggu lalu, Lua sendiri mendapati dia telah kehabisan stok kotak penghantaran.
Buat masa ini, Jom Masak membuat penghantaran ke seluruh Malaysia, Sabah dan Sarawak. Pembungkusan yang berkualiti menjadikan kit ini boleh tahan dalam suhu sejuk selama seminggu setengah.

Pasangan dinamik ini sedang dalam proses menyiapkan satu lagi bahan masakan untuk mewarnai Jom Masak dengan masakan kegemaran Kelantan iaitu Nasi Dagang. Dalam merealisasikan impian tersebut, Lua turut pergi ke Kelantan untuk mendapatkan bahan-bahan istimewanya bagi menyerlahkan rasa masakan ini.
“Saya telah mencuba “meniru” masakan ini sebanyak tujuh kali tetapi setakat ini tiada masakan saya yang sama seperti Nasi Dagang Kelantan tetapi saya akan tetap mencuba dan tidak akan berputus asa,” jelasnya sambil ketawa.
Mereka turut mengadakan promosi untuk pembelian tiga kit ke atas akan mendapat penghantaran percuma.
Anda boleh melihat Facebook Jom Masak disini atau hubungi Lua atau Irene di talian 012 – 6326606 / 016 – 8895696.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]