Kasawari, burung berbahaya di dunia dibela sejak 18,000 tahun lalu

Kasawari, burung berbahaya di dunia dibela sejak 18,000 tahun lalu

Kasawari mungkin agresif, tetapi ia mudah ‘mencetak’ dan terikat dengan perkara pertama yang dilihat sebaik menetas.

Agak mengejutkan apabila haiwan yang kewilayahan, agresif dan sering disamakan dengan dinosaur ini tercalon sebagai haiwan ternakan. (Gambar CNN.COM)

Sukar untuk dipercaya tetapi burung pertama yang pernah diternak manusia berkemungkinan kasawari, burung paling berbahaya di dunia kerana ibu jari kakinya yang tak ubah seperti belati.

Agak mengejutkan apabila haiwan yang kewilayahan, agresif dan sering disamakan dengan dinosaur ini tercalon sebagai haiwan ternakan.

Namun, satu kajian ke atas lebih 1,000 serpihan fosil kulit telur yang ditemui di dua rumah batu yang digunakan pemburu di New Guinea mencadangkan bahawa manusia mungkin mengambil telur kasawari sebelum menetas dan menternak haiwan itu hingga dewasa.

New Guinea adalah sebuah pulau di utara Australia.

“Tingkah laku yang kita lihat ini muncul ribuan tahun sebelum ayam mula dipelihara,” kata penulis kajian utama Kristina Douglass, penolong profesor antropologi dan kajian Afrika di Penn State University.

Menurut penyelidik, walaupun kasawari boleh menjadi agresif (seorang lelaki di Florida terbunuh pada tahun 2019), ia mudah “mencetak” iaitu terikat pada perkara pertama yang dilihatnya setelah menetas. Ini bermaksud ia mudah dijaga dan dibesarkan sehingga dewasa.

Kini kasawari adalah vertebrata terbesar di New Guinea, di mana bulu dan tulangnya menjadi bahan berharga untuk perhiasan dan pakaian istiadat. Dagingnya pula dianggap sebagai makanan istimewa di New Guinea.

Terdapat tiga spesies kasuari, yang berasal dari bahagian utara Queensland, Australia, dan New Guinea. Douglass berpendapat nenek moyang purba kita berkemungkinan besar memelihara spesies terkecil, kasuari kerdil, yang beratnya sekitar 20 kilogram.

Fosil kulit telur itu diberi tarikh karbon sebagai sebahagian daripada kajian ini, dan usianya dijangka antara 18,000 hingga 6,000 tahun.

Dipercayai, manusia pertama kali menjinakkan ayam sejak 9,500 tahun yang lalu.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.