Apabila wartawan terbunuh dan dibunuh

Apabila wartawan terbunuh dan dibunuh

Saya hantar mereka ke KLIA untuk ucap selamat. Sepanjang pemergian mereka saya tidak boleh tidur malam. Jika apa-apa buruk berlaku saya yang bertanggungjawab menghantar mereka - saya yang mesti hadap keluarga mereka.

Mohsin Abdullah

Isnin lalu empat wartawan Al Jazeera dibunuh Israel. Breaking news rangkaian berita itu diberi tajuk: Israel murders journalists.

Seorang wartawan Malaysia berpengalaman luas beri komen begini: “No stories, no matter how big or newsworthy, are worth losing one’s life for.”

Katanya lagi: “Let’s hope journalists in such life threatening frontline assignments amidst ongoing worsening by the day genocide not allow themselves to be sacrificial lambs.”

Life is too far precious for any news story a journalist is covering or working on. It’s just not worth it.”

Saya faham beliau kata apa yang beliau kata berdasarkan rasa bimbang dan concern terhadap nyawa wartawan. Namun saya berbeza pendapat meskipun saya akui saya bukan wira, bukan pemberani pun.

Empat orang wartawan itu dibunuh — bukan terbunuh ditengah-tengah pertempuran tentera Israel dengan Hamas. They were not caught in a cross fire. They were targeted to be killed.

Mereka berada di sebuah khemah untuk wartawan berdekatan pintu masuk hospital Al Shifa di Gaza City apabila dibunuh oleh a targeted Israeli strike, menurut BBC. Drone telah digunakan.

Wartawan menjadi sasaran pembunuhan Israel ada sejarah lama dan panjang. Ia diketahui umum. Israel tidak mahu kebenaran tentang apa yang berlaku di Gaza atau di mana sahaja mereka takluki disampaikan oleh wartawan ke merata pelusuk dunia.

Malah Israel Defence Forces mengaku telah melancarkan serangan bersasar Isnin lalu tetapi mendakwa seorang wartawan yang dibunuh, Anas Al Sharif, mengetuai ‘unit pengganas dalam Hamas’ — sesuatu yang tidak dibuktikan dan dinafikan sekeras-kerasnya oleh Al Jazeera.

Imbau pula kematian Shireen Abu Akleh, juga wartawan Al Jazeera pada 11 Mei 2022. Beliau ditembak semasa membuat liputan serbuan tentera Israel ke atas kem pelarian di Jenin. Beberapa saksi nampak Abu Akleh ditembak di kepala oleh seorang anggota tentera.

Mulanya tentera Israel lepas tangan tetapi kemudian mengakui ‘kemungkinan besar’ mereka menembak Abu Akleh tetapi dengan ‘tidak sengaja’.

Kisah sedih mendiang terhenti di situ. Tidak ada anggota tentera Israel dibawa hadapi apa-apa pertuduhan. Ramai termasuk pemerhati antarabangsa percaya Shireen Abu Akleh jadi mangsa pembunuhan bersasar kerana Israel tidak suka apa yang beliau laporkan sebelum itu.

Berbalik kisah Anas Al Sharif. Laporan beliau juga tidak disenangi Israel. Selepas pembunuhan Al Sharif dan rakan-rakan, editor pengurusan Al Jazerra iaitu Mohamed Moawad beritahu BBC bahawa Israel melarang wartawan antarabangsa membuat liputan dari dalam Gaza sejak perang dilancarkan. Lantas banyak pertubuhan media mendapat maklumat tepat daripada wartawan tempatan. Al Sharif dan rakan-rakan antaranya.

The fact is that the Israeli government is wanting to silence the coverage of any channel or reporting from inside Gaza,” kata Moawad.

Oleh itu jika dikuti nasihat wartawan tempatan yang disebut tadi, Israel akan dapat apa yang dihajati. Keganasannya tidak akan didedahkan kepada dunia dan bebas melakukan apa sahaja kerana semua wartawan percaya tidak berbaloi buat liputan berita sebesar mana pun jika hilang nyawa.

Saya akui Israel tetap mengganas walaupun keganasannya dihebahkan. Cuma, jika Peter Arnett dan rakan-rakan tidak buat liputan perang Vietnam dulu, tragedi My Lai tidak akan diketahui dunia dan yang bertanggungjawab akan lepas bebas. Begitu juga genocide di Sebrenica dan di Rwanda dulu akan senyap begitu sahaja jika tidak ada wartawan berani melaporkannya.

Arnett, Abu Akleh, Al Sharif dan ramai lagi sedar akan bahaya yang mereka hadapi. They did not walked into the conflict with their eyes closed. Mereka lakukan demi melaporkan kebenaran.

Di Indonesia ramai wartawan yang dibunuh, terbunuh atau ‘hilang’ kerana membongkar skandal rasuah dan membuat liputan ke atas pelbagai peristiwa bahaya.

Kata Arisandi, seorang kawan — wartawan yang pernah ada di daerah konflik di Indonesia:

“Kalau pandangan saya soal tidak ada berita seharga nyawa, sebenarnya lebih kepada pesan untuk kita berhati-hati di tempat liputan. Juga supaya office memfasilitas kelengkapan alat kerja yang safety. Namanya pun panggilan jiwa. Kadang juga susah kita nilai, apa lagi kalau dalam liputan perang di Gaza. Soal pengaruh nasionaliti dan agama lebih dikedepankan.”

Kesimpulannya: “Saya rasa nggak tepat kata-kata itu (oleh wartawan veteran tadi) digunakan untuk kasus mereka (wartawan Al Jazeera).” Arisandi sendiri melalui detik-detik bahaya semasa menjalankan liputan di beberapa kawasan konflik di Indonesia suatu masa dahulu.

Ketika saya pegang jawatan ketua pengarang NTV7 dan 8TV lama dahulu, saya menugaskan wartawan, Sharon Tang, dan jurukamera, Muhammad Solleh Ahmad Kamil, buat liputan di Gaza. Itu pada lewat Januari 2009 beberapa minggu selepas apa yang Israel namakan Operation Cast Lead. Waktu pasukan NTV7 masuk ke Gaza ada gencatan senjata singkat dikuatkuasakan.

Saya menghantar mereka ke KLIA untuk ucap selamat. Sepanjang pemergian mereka saya tidak senang duduk dan tidak boleh tidur malam. Bimbang akan keselamatan mereka. Jika apa-apa buruk berlaku saya yang bertanggungjawab menghantar mereka ke Gaza — saya yang mesti hadap keluarga mereka. Jika tugas itu begitu penting mengapa saya selaku ketua tidak pergi sendiri? Persoalan itu bermain dalam kepala.

Mereka berada di Gaza selama empat hari tapi saya rasa bagai empat tahun lamanya, menjejaki Rafah ke Beit Lahia dan Beit Hanoun. Ada sniper menembak ke arah mereka mungkin sebagai amaran kerana mendekati kawasan larangan yakni sempadan timur laut. Alhamdulillah mereka selamat pulang setelah sempurna tugas.

Terkenang pula beberapa hari yang tidak menentu apabila tercetusnya apa yang dikenali sebagai rusuhan Sabah berikutan keputusan PRN Sabah 1985 yang dimenangi parti baharu iaitu Parti Bersatu Sabah — menumpaskan Berjaya yang merupakan komponen Barisan Nasional. Rusuhan tertumpu di Kota Kinabalu, Tawau dan Sandakan. Ada letupan bom berlaku. Saya ditugaskan oleh TV3 untuk buat liputan pilihan raya.TV3 sendiri baharu sahaja melancarkan siaran berita. Dalam erti kata lain dalam keadaan serba kekurangan.

Jurukamera,Wee Your Lee, serta pembantunya, Mohamad Sobrie, dan saya ditempatkan di Kota Kinabalu. Sememangnya kami tidak mampu bergerak ke Tawau dan Sandakan. Apa lagi peralatan yang kami dibekalkan merupakan basic sahaja.

Pada tengah hari rusuhan berlaku Pengurus Jabatan Berita dan Hal Ehwal Semasa TV3, Subohi Yatim, menelefon saya dan mengarahkan kami pulang on the first available flight out of KK.

Kata saya jika begitu, TV3 tidak akan ada laporan lengkap rusuhan Sabah. Jawab pengurus: “Nyawa kamu semua lebih penting.”

Saya pulang ke Kuala Lumpur lewat malam itu. Saya bersyukur kami bertiga selamat tetapi terkilan tidak dapat buat liputan berita besar. Saya akui ada juga rasa takut. Apa pun saya hargai tindakan Allahyarham Haji Subohi.

Pada September 2011, jurukamera Bernama TV iaitu Noramfaizul Mohd Nor terkorban akibat terkena tembakan peluru sesat atau tembakan curi semasa membuat liputan misi kemanusiaan di Mogadishu, Somalia.

Selain tragedi itu, tidak ada nyawa wartawan hilang semasa buat liputan konflik. Di Malaysia, tidak ada wartawan dibunuh atau terbunuh. Ancaman ada. Dicederakan juga ada semasa buat pendedahan aktiviti jenayah sindiket. Pengarang yang bekerja dengan media dikuasai Umno khususnya pada pemerintahan BN, dari zaman Mahathir Mohamad hingga ke Najib Razak, ada yang hilang pekerjaan kerana percaturan politik oleh politikus. Di Malaysia lain pula bahayanya.

Ini kita cerita lain kali.

 

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.