Forbes si kucing bertuah, bersatu dengan pemilik selepas 10 tahun hilang

Forbes si kucing bertuah, bersatu dengan pemilik selepas 10 tahun hilang

Forbes keluar rumah pada 2011 dan gagal dikesan Neil Henderson sejak itu.

Forbes akhirnya bersatu kembali dengan pemiliknya Neil Henderson selepas dilaporkan hilang 10 tahun lalu.

Kehilangan Forbes, kucing milik Neil dan Lucy Henderson pada 2011 benar-benar sukar untuk ditelan keluarga pemiliknya itu, biarpun 10 tahun telah berlalu.

Namun baru-baru ini, Scottish Society for Prevention of Cruelty to Animals (SSPCA) menerima seekor kucing jalanan yang kurus kering.

Imbasan yang dilakukan mendapati kucing bernama Forbes yang berusia 12 tahun itu mempunyai mikrochip. Ia sekali gus membawa kepada pertemuan semula penuh bermakna Forbes dengan Neil sekeluarga.

“Kami sekeluarga jadi tidak keruan. Kami bela Forbes sejak anak kucing lagi dan hubungan kami cukup istimewa,” kata Neil yang terus mencari kucing kesayangannya itu sebaik menyedari ia tidak pulang.

“Rakan-rakan membantu membuat poster dan sanggup pergi dari rumah ke rumah. Kami juga minta jiran-jiran meninjau di sekitar garaj mereka kerana bimbang dia terperangkap di dalam.

“Selepas sembilan bulan, kami dengan berat hati terpaksa menerima hakikat bahawa sesuatu yang buruk telah berlaku,” ujarnya.

Namun menurut Neil, baru-baru ini sesuatu yang tidak diduga berlaku. Ketika sedang memandu, dia mendapat panggilan telefon dari isterinya dan mengarahkan Neil untuk berhenti seketika.

“Sebaik mendengar Forbes berjaya ditemui, saya girang tidak terkira. Ia umpama mimpi jadi nyata,” tambahnya.

“Kami ke Aberdeen keesokan harinya dan sebaik ia dibawa keluar, saya terus mengecamnya. Forbes turut memeluk saya dan saya amat berharap dia masih mengingati saya,” ceritanya lagi.

Pegawai SSPCA, Greg Stevenson yang menyatukan Forbes dengan keluarga asalnya berkata, sukar untuk mengetahui ke mana ia pergi dan apa yang telah dilalui oleh kucing tersebut.

Memandangkan sifat semulajadi kucing yang suka merayau, ia boleh hilang atau kembali ke rumah yang pernah memberinya makan.

“Walau bagaimana terujanya kita untuk mengundang kucing luar ke rumah, akan menyusahkan pemiliknya, tolong hentikan perbuatan ini,” katanya.

Menurut keluarga Henderson, kisah Forbes adalah alasan kukuh mengapa masyarakat perlu menyokong peraturan mewajibkan pemasangan mikrocip pada haiwan kesayangan.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.