Saintis bingung, whalefish mampu berubah bentuk

Saintis bingung, whalefish mampu berubah bentuk

Sepanjang hayatnya, whalefish dan bignose melalui tiga perubahan fizikal berbeza.

Whalefish betina berwarna jingga terang itu ditemui pengkaji dalam keadaan separa berenang dan separa meluncur.

Sekumpulan saintis yang sedang mengendali kapal selam kawalan jauh, menemui sejenis ikan laut dalam yang cukup misteri dan licik dikenali sebagai whalefish.

Whalefish betina atau nama saintifiknya Cetomimiformes, berwarna jingga terang itu ditemui berenang dan meluncur pada kedalaman 2,013 meter di sekitar Teluk Monterey California.

Difahamkan sejak 34 tahun penjelajahan laut dalam dijalankan Institut Kajian Akuarium Monterey Bay, hanya 18 kali kelibat ikan misteri ini pernah dilihat ahli biologi marin di institut berkenaan.

“Whalefish jarang dilihat hidup di laut dalam, jadi masih banyak misteri yang menyelubungi ikan menakjubkan ini,” kata satu kenyataan dari Institut Kajian Akuarium Monterey Bay di Twitter.

“Setiap kali selaman laut dalam dilakukan, kami menemui lebih banyak lagi misteri dan menyelesaikan sebahagiannya.”

Tidak banyak yang diketahui mengenai kehidupan whalefish hinggakan lebih dari satu abad setelah penemuannya (pertama kali direkodkan pada 1895 oleh dua saintis Smithsonian Institution), tiga bentuk haiwan tersebut yang sangat berbeza sepanjang kitaran hidupnya disalah anggap sebagai keluarga zoologi yang berbeza.

Pertama ‘tapetails: berbentuk larva tanpa sirip dengan ekor dan mulut yang panjang. Ia tinggal serta mencari makan berhampiran permukaan laut dan apabila tiba masa ia bertukar menjadi dewasa, dua bentuk yang sangat berbeza menanti mereka.

Jika ia jantan, ‘tapetails’ tadi akan berubah menjadi ‘bignose’ (whalefish jantan) yang memiliki sisik, mulut kecil dan tulang rahang nipis. Oleh kerana whalefish jantan akan berhenti makan, usus, kerongkong dan perutnya akan menyusut dan menghilang.

Betina turut melalui transformasi yang tidak kurang hebatnya. Tubuhnya mengembang menyerupai paus baleen kecil, sebelum membesar melebihi saiz ikan jantan, dan ia mula membentuk garis lateral yang berfungsi mengesan tekanan air di sepanjang rusuknya untuk membantunya mengemudi di laut dalam.

Sebahagian spesies betina berubah menjadi warna jingga terang; kerana warna merah dan jingga tidak dapat menembusi kedalaman habitat mereka menjadikan ikan ini seolah halimunan.

Kedua-dua jantan (bignose) dan betina (whalefish) boleh ditemui pada kedalaman 1,500 hingga 2,000 meter di bawah permukaan laut namun ada mendakwa ia mampu hidup pada kedalaman 3,500 meter.

Tidak banyak yang diketahui mengenai tabiatnya namun saintis berpendapat whalefish bergerak sehingga 600 meter ke permukaan laut berpandukan cahaya bintang untuk mencari makanan sebelum bersembunyi ke kawasan lebih dalam menjelang siang.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.