Kalau lambat beri insulin, Belang mengiaw minta disuntik

Kalau lambat beri insulin, Belang mengiaw minta disuntik

Belang, seekor kucing jantan yang dikesan menghidap kencing manis sejak 2018.

Video memaparkan rutin harian Belang yang diperiksa kandungan gula dalam darah dan diberi insulin oleh pemiliknya, mengundang pelbagai reaksi warganet di media sosial.

Siapa sangka, kucing juga terdedah kepada penyakit kencing manis atau turut dikenali sebagai diabetes melitus sama seperti manusia.

Demikian halnya dengan perkongsian video menarik di Facebook milik Amizan Amiruddin mengenai Belang, ‘anak bulus’ kesayangan keluarganya yang dikesan menghidap kencing manis sejak 2018.

Video berdurasi 3 minit 21 saat itu memaparkan bapa Amizan melakukan rutin hariannya, memeriksa kandungan gula dalam darah Belang, kucing kesayangan mereka dua kali sehari.

Seperti anak kecil yang memahami arahan ibu bapanya, Belang dilihat berjalan dan masuk sendiri ke dalam bakul khas sementara menunggu bapa Amizan menyiapkan peralatan untuk memeriksa kandungan gula dalam darah dan memberikan insulin.

“Disebabkan keadaan Belang diabetes, dia memang kena insulin setiap hari. Bila gula tinggi, memang akan cucuk insulin (sama seperti insulin untuk pesakit diabetes manusia).

“Dia pun sudah terbiasa dengan rutin ini, sejak tahun 2018 lagi. Kalau terlambat cucuk insulin dia sendiri akan mengiaw minta dan mengingatkan atuk (ayah Amizan),” tulis Amizan.

Perkongsian itu dibuat selepas Amizan terjumpa video lama Belang, justeru dihambat perasaan sedih kerana ia terpaksa dimasukkan ke klinik haiwan akibat hypoglycemia (tahap gula dalam darah terlalu rendah) dan sawan.

“Masih lagi tunggu perkembangan dari doktor. Ya, mungkin orang akan kata kucing je pun. Tapi kucing ini dah jadi sebahagian dari keluarga kami. Dia pun faham bahasa kita, gerak-geri kita dan manja dengan kita. Kita sayang dia dan dia pun sayang kita,” kongsi Amizan lagi.

Hantaran yang dikongsi lebih 6285 kali dan menerima lebih 5,000 tanda suka itu menerima pelbagai reaksi warganet.

Ada yang kagum dengan betapa jinaknya Belang sehingga langsung tidak meronta ketika disuntik insulin, tidak kurang juga terkejut kerana kucing juga menghidap kencing manis.

“Kesian Belang. Baru tahu hari ini kucing pun ada diabetic. Kucing saya lain pula, tekanan darah rendah. Susah diselamatkan,” kata warganet Ajija Jacob yang turut mendoakan Belang cepat sembuh.

“Saya animal rescue, banyak juga haiwan rescue saya yang sakitnya seperti manusia. Kencing manis, buah pinggang, jantung, stroke dan macam-macam lagi. Suntik ubat dan buat IV dah jadi perkara biasa, gula Belang tu tinggi cuba kasi makan ayam rebus je. Itu yang saya bagi sebab makanan kucing ada gula,” respon Swat Angel penuh nasihat bermakna.

Sewaktu kisah ini ditulis, Belang masih lagi berada di klinik haiwan namun sudah menunjukkan tindak balas positif, sudah mula makan dan minum sendiri.

Semoga Belang beransur baik dan cepat sembuh.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.