
Mohd Zulkarnain selalu membayangkan bahawa beliau akan menjadi seorang pegawai polis, peguam atau penyanyi. Tidak pernah sekali pun terlintas di fikirannya, hobi dalam bidang seni tari bakal menjadi laluan kerjayanya.
Lelaki berusia 28 tahun itu lahir dan dibesarkan di Perlis. Beliau berhijrah ke Kuala Lumpur untuk melanjutkan pengajiannya dalam bidang seni tari di Akademi Seni Budaya Dan Warisan Kebangsaan (ASWARA).
Seorang yang berpandangan jauh dan berbakat, pemuda ini telah mendalami pelbagai genre tarian selama hampir 15 tahun. Minat dan cinta yang mendalam dalam dunia tarian bermula sejak beliau di bangku sekolah lagi.
Ketika berusia 14 tahun beliau mula mengambil bahagian dalam pertandingan dan persembahan tarian, terutamanya tarian tradisional Melayu.

“Melalui tarian saya dapat mengekspresikan diri saya, sesuatu yang kadang-kadang sukar untuk dizahirkan dengan kata-kata,” beliau memberitahu FMT.
Menurut Zulkarnain setiap gerakan dan langkah membawa makna yang mendalam dan beliau berharap ia akan meninggalkan kesan di hati penonton untuk memikirkan kisah di sebalik sesebuah persembahan dan tidak hanya menganggapnya sebagai sebuah persembahan semata-mata.
“Sebagai contoh, karya yang saya persembahkan dalam Selumbar, merupakan sebuah tarian kontemporari yang saya terbitkan pada tahun 2017. Dalam karya ini, saya ingin menceritakan mengenai seorang penghidap Bulimia yang bertarung dengan masalah berat badan.
“Justeru setiap gerakan yang dihasilkan mencerminkan kesengsaraan yang dihadapi oleh penderita penyakit ini,” jelas beliau kepada FMT mengenai pentingnya analisa dalam setiap gerakan tarian.
Ketika menuntut di akademi Aswara, beliau didedahkan dengan pelbagai genre tarian termasuk tarian Melayu, tarian klasik India, tarian Cina, tarian festival, ballet dan kontemporari.
Mengimbas kembali kenangan tersebut, beliau secara spesifik menyebut Bharatanatyam, di mana beliau banyak belajar mengenai asal usul dan juga sejarah di sebalik tarian berkenaan.
“Melaluinya saya berpeluang untuk mengenali dengan lebih dekat budaya lain,” kongsi Zulkarnain.

Beliau turut berkongsi dengan FMT mengenai pengalamannya belajar tarian dari Sabah dan Sarawak.
“Kebanyakan tarian di sana adalah untuk mengekspresikan kehidupan seharian mereka seperti berburu, musim menuai dan ritual untuk mengubati penyakit.”
Menurut Zulkarnain, beliau percaya jaringan yang terjalin dengan penari lain di serata dunia akan memberi manfaat untuk meneruskan kerjaya dalam bidang tarian.
Beliau pernah menjalin kerjasama dengan beberapa koreografer antarabangsa termasuk Un Yamada dari Jepun yang menghasilkan koreografi “People Without Seasons”.
Selain itu, beliau turut berkolabrasi dalam “Earth Song” yang dihasilkan oleh Pei Ern dari Malaysia, Acho Ridwan dari Indonesia dan Atsushi Heki dari Jepun.
Beliau turut menyertai program pertukaran ‘Cross Cultural Creative’ oleh koreografer dari Australia, Annalouise Paul dan he Roots of Dance oleh Jacek Luminki dari Akademi Musik, Devisi Tarian di Katowice, Poland.
Objektif dari kedua-dua program berkenaan adalah untuk menerokai tarian kontemporari yang menggunakan gerak tari tradisional.
Pada tahun 2019, Zulkarnain turut berpeluang menyertai festival tarian yang diadakan di Hawaii yang dianjurkan Syarikat Tarian ASK, tempat di mana beliau bekerja.
Melalui festival itu, beliau berpeluang untuk berkongsi mengenai tarian Melayu dan India klasik, selain mempelajari tarian tradisional Hawaii, dikenali sebagai tarian Hula.
Dan seperti kebiasaannya, setiap kali program atau persembahan yang disertainya berakhir, Zulkarnain akan memastikan hubungan yang terjalin diteruskan.
Beliau percaya ini akan membuka lebih banyak peluang untuk berkolaborasi pada masa akan datang.

Dalam situasi genting berdepan dengan pandemik saat ini, banyak mempengaruhi aktiviti seni termasuk kerjayanya di akademi.
“Kini, kita terpaksa bekerja dari rumah. Persekitarannya kurang selesa memandangkan kerjaya saya sebagai penari memerlukan ruang yang luas dan selesa,” katanya berkongsi cabaran bekerja sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.
Bengkel tarian dan program berkaitan terpaksa dijalankan secara dalam talian sejak pandemik melanda pada tahun 2020. Ini adalah cabaran besar kerana belajar tarian secara dalam talian sangat berbeza berbanding mempelajarinya secara bersemuka.
Ia menjadi halangan kepada Zulkarnain apabila tidak dapat membetulkan posisi atau gerakan yang dilakukan oleh pelajar-pelajarnya secara fizikal, secara tidak langsung menyukarkan pelajar untuk memahami teknik dan gaya tertentu dalam tarian tersebut.
Biarpun begitu, semangatnya tidak luntur. Beliau berusaha keras, tidak hanya untuk dirinya sendiri, tetapi juga untuk pelajar-pelajarnya.
Dengan populariti aplikasi media sosial TikTok, Zulkarnain tidak melepaskan peluang menggunakan platform tersebut. Beliau turut memuatnaik video tariannya di TikTok, selain di Instagram dan Facebook.
Beliau mengakui, meluangkan masa di TikTok bagi membantu dirinya berdepan dengan pandemik kerana di situ terdapat pelbagai video tarian menarik yang dihasilkan oleh komuniti.
Lawati Instagram, TikTok dan saluran YouTube Zulkarnain untuk melihat hasil karya kreatif beliau melalui video tarian yang dimuatnaik di situ.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]