
Sio pernah mencuba beberapa pekerjaan lain, belajar perkara baharu bersama teman-temannya di Ogawa serta mengikuti kelas yoga. Namun, semua itu masih tidak dapat memenuhi rasa ‘kosong’ dan hilang di jiwanya.
“Saya mempunyai pendapatan yang lumayan, kehidupan sosial juga baik tetapi dalam hati saya tahu ada sesuatu yang hilang dan tidak dipenuhi,” jelas Sio.
Sehinggalah secara tidak sengaja pada tahun 2014 beliau mengenali seni hiasan kek yang akhirnya menjadi tempat untuknya mencurahkan minat dan dedikasi.

“Sebelum menyertai kelas, saya langsung tidak tahu masak,” dedah Sio ketika menceritakan detik pertama berjinak-jinak dengan dapur.
“Saya kemudiannya menyertai kursus seni hiasan kek selama 20 hari dari Akademi Seni Pastri Malaysia dan terus jatuh cinta dalam bidang ini”.
Bagi Sio ia merupakan satu proses yang menenangkan sekaligus mengasah bakatnya dalam menghias kek. Beliau kemudian melanjutkan kemahirannya dengan menyertai kelas pakar hiasan kek dari Amerika Syarikat dan Thailand yang telah banyak merangkul anugerah berprestij di dunia.

Selepas 22 tahun berkecimpung dalam kerjayanya di Thaitee Tea Merchant dan Ogawa di Shanghai, Sio akhirnya meninggalkan bidang korporat pada 2017 untuk meneruskan minatnya dalam seni hiasan kek.
Di usianya yang kini mencecah 51 tahun, Sio dikenali sebagai Ms V di kalangan peminat kek buatannya.
“Ia adalah satu cabaran besar untuk menghasilkan kek yang diinginkan oleh pelanggan. Saya merasa puas hati apabila pelanggan saya gembira,” kata Sio.
Keindahan kek Sio menggambarkan tahap dedikasi beliau atas setiap hasil karya yang dihasilkan; kadang-kala beliau menghabiskan sehingga 16 jam bagi menyiapkan satu kek.
Namun, bagi Sio ia memberi 1001 kepuasan buat dirinya.

“Saya mempunyai banyak pengalaman yang menyentuh hati dengan pelanggan saya. Seorang cucu yang memesan kek bentuk mahjong sempena ulang tahun kelahiran neneknya,” kenang Sio.
“Bila saya hubungi kembali pelanggan saya tahun berikutnya, beliau memberitahu neneknya sudah meninggal dunia. Menurut pelanggan saya itu, kek mahjong itu merupakan salah satu perkara yang paling tidak dapat dilupakan oleh neneknya.”

Sio juga pernah menerima tempahan kek berbentuk katak bagi membantu seorang menghadapi ketakutan dengan haiwan itu. Selain itu juga, kek dengan tema “sensual” juga pernah dipesan oleh pelanggan.
Selepas empat tahun, Sio meraih pengiktirafan antarabangsa, terutama selepas menjadi satu-satunya rakyat Malaysia yang memenangi Pertandingan Virtual Kek Antarabangsa 2021, kejohanan bertaraf “Oscar” dalam dunia pembuatan kek. Beliau berentap menentang peserta dari Amerika Syarikat, Rusia, Jepun, Romania dan Switzerland memenangi pingat gangsa bagi hiasan kek jambangan bunga yang dihasilkannya.
Banyak perkara yang dilalui Sio dalam menangani krisis pertengahan umur telah mematangkan dan membawa Sio ke tahap dirinya sekarang.
“Pada awalnya , saya benar-benar risau kerana akan mengorbankan pendapatan bulanan saya,”.

“Kemudian saya berfikir lagi; jangan takut untuk memberikan peluang kedua kepada diri kita sendiri. Kalau kita tak cuba, kita tidak akan tahu apa yang menanti kita di hadapan sana. Mesej yang paling penting ingin saya sampaikan ialah – umur bukanlah penghalang untuk kita mengejar impian.”
Untuk melihat lebih banyak lagi kek sentuhan Sio yang mengagumkan, singgah ke laman Facebooknya dan tinggalkan pesanan jika anda ingin menempah kek yang dibuat khas untuk diri anda atau orang tersayang.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]