
Bagi kebanyakan orang, pensel adalah salah satu keperluan asas untuk menghasilkan lakaran dan lukisan tetapi ia menjadi satu objek seni bagi karyawan Bosnia ini, Jasenko Dodevic.
Kreativiti Dodevic begitu mengagumkan apabila dia mampu menghasilkan ukiran halus miniatur menarik dengan hanya menggunakan grafit karbon pensel.
Ia mempamerkan tahap ketelitian yang tinggi pada artis itu apabila dia perlu berhati-hati dalam setiap ukiran memandangkan bahan terbabit begitu rapuh.
“Bagi saya, setiap ukiran yang dihasilkan ini bagaikan berperang dengan diri sendiri. Namun, ia dapat menguji tahap kesabaran sebenar pada diri saya.
“Saya menggunakan kanta pembesar yang mempunyai lampu untuk mengurangkan tekanan pada mata dan selepas itu, saya gunakan mikroskop untuk menyiapkan perincian terakhir,” katanya.
Dodevic berkata, dia mengambil kira-kira lima hingga 10 jam untuk membuat ukiran kasar sebelum memperincikan hasil seninya itu yang memakan masa beberapa hari.
Katanya, penghasilan miniatur menggunakan bahan itu amat sukar kerana tidak langsung tidak boleh membuat sebarang kesilapan.
“Saya berasa lebih selamat sekiranya grafit karbon ini lebih keras untuk diukir. Bagaimanapun, anda perlu berhati-hati kerana ia amat sukar diukir kerana mudah patah,” katanya.
Beberapa hasil ukirannya yang boleh dilihat membabitkan pelbagai objek, logo serta manusia selain memberi penghormatan kepada karya terkenal Auguste Rodin, The Thinker dan The Creation Of Adam oleh Michaelangelo.
“Motif ukiran saya bergantung kepada setiap projek. Kadangkala ia mahukan gaya seni pop. Sebagai contoh, inspirasi diambil daripada alam semula jadi, karya terkenal seni bina, penghasilan semula karya seni dan sebagainya.
“Saya juga sering mencipta ukiran yang mencerminkan masalah tertentu dalam masyarakat sama ada tempatan atau luar negara.
“Pada awalnya, saya hanya mengukir bentuk biasa dan kini ukiran dihasilkan lebih kompleks dan memerlukan kesabaran yang tinggi,” katanya.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]