
Petaling Jaya: “Selamat datang ke Sweetoothache!” sambut Monija dengan ceria ketika menerima kehadiran FMT ke studio pencuci mulutnya yang baru di Petaling Jaya.
“Anda mesti cuba biskut istimewa saya. Bahagian dalamnya begitu lembut dan rangup di bahagian luar,” katanya ketika mengeluarkan biskut cip coklat dan red velvet dari ketuhar.
Wanita peramah dikenali sebagai Monija Nair ini bukan hanya seorang doktor gigi tetapi juga mengusahakan perniagaan pencuci mulut, Sweetoothache.

Di kalangan pesakitnya pula, wanita berusia 28 tahun ini dikenali sebagai Dr Monija Nair.
Menurutnya, dia mula minat menghasilkan pencuci mulut ketika berada di tahun ketiga pengajian bidang pergigian pada 2015 selepas sukar mencari pencuci mulut sebagai kudapannya.
“Kemudian saya mula menghasilkan pencuci mulut sendiri seperti kek cawan dan kek biasa. Saya terus terfikir mengapa tidak menggunakan kemahiran ini untuk menjana pendapatan sampingan.
“Beberapa pelanggan awal saya terdiri daripada rakan baik, rakan satu pengajian dan pensyarah. Itu saja yang saya lakukan setiap kali habis kelas,” kata Dr Monija.
Enam tahun kemudian, dia berkhidmat sebagai doktor gigi yang bekerja enam hari seminggu dan turut membahagikan masa dengan perniagaan sendiri, Sweetoothache.

“Jika tidak bekerja, saya di dapur membakar kek dan biskut,” katanya sambil menjelaskan bahawa dia sering diajukan pertanyaan biasa bagaimana berjaya membahagikan masa antara kerjaya dan perniagaan.
“Dalam sehari, kita ada 24 jam dan cara anda meluangkan masa itu amat penting sekali dan terpulang pada diri masing-masing.
“Saya sentiasa menerima mesej daripada pelanggan mengatakan mereka begitu suka dengan kek saya dan sejujurnya, ia adalah perasaan paling menggembirakan dan menjadi pendorong.

Menurutnya, orang ramai sering terkejut apabila mendapat tahu dia menjalankan perniagaan makanan manis kerana beranggapan seorang doktor gigi sepatutnya menasihatkan pesakit menjauhi makanan seperti itu.
“Sebanyak 99 peratus daripada masyarakat mengambil gula, sama ada sedar atau tidak. Saya mengurangkan kuantiti gula dalam resepi supaya ia tidak terlalu manis. Namun, saya tidak boleh mengurangkan gula dalam aising.
“Jadi, saya menggunakan nota memberitahu pelanggan bahawa kek itu tidak terlalu manis. Jika mereka merasakan ia manis, pelanggan boleh mengeluarkan aising tersebut. Ada pelanggan yang berbuat demikian,” katanya.

Jika anda seorang penggemar biskut lembut yang rangup di bahagian luarnya, Dr Monija menyediakan pilihan seperti biskut cip coklat, biskut bersama ketulan coklat, biskut red velvet, biskut lemon biscoff serta biskut coklat gelap.
Selain biskut, peminat kek juga boleh memilih empat pilihan yang ada iaitu kek mentega, kek Belgian, red velvet dan carrot walnut.
“Anda juga boleh menikmati kek yang tidak diadun bersama telur. Ketika ini saya masih cuba menghasilkan biskut untuk golongan vegan,” katanya.
Dr Monija memberitahu, dia mendapat idea untuk membuka studio pencuci mulut kerana tidak mahu menggunakan ruang dapur di rumah ibu bapanya.
“Perancangan asal untuk membuka studio Sweetoothache ialah sebelum pandemik lagi. Namun, selepas dilanda Covid-19, semua perancangan terbantut. Bagaimanapun, kali ini saya nekad meneruskannya juga.
“Pada awalnya, ibu bapa risau kerana menyangkakan saya akan berhenti kerja namun mereka tetap memberi sokongan terhadap minat ini. Ayah sentiasa berpesan mengenai pentingnya untuk hidup mencari kegembiraan,” katanya.
Bagaimanapun, dia bagaikan tidak puas dengan kerjaya dan perniagaan yang ada apabila terus memperluaskan perniagaan menerusi produk kopi pula.

Baru-baru ini, dia menubuhkan Bitter, iaitu jenama kopi cold brew yang dihasilkan dalam kuantiti kecil untuk menjamin tahap kualiti dan rasa yang terbaik.
Ketika ini, rangkaian itu terdiri daripada kopi cold brew, kopi latte cold brew, kopi vanilla cold brew dan kopi susu oat cold brew yang bebas gula.
“Saya tidak bersendirian dalam menjalankan perniagaan berasaskan kopi ini. Saya mempunyai rakan perniagaan yang membantu,” katanya.
Walaupun begitu, dia tetap komited terhadap tugas hakikinya iaitu sebagai doktor gigi yang merawat pesakitnya.
“Ia semestinya satu perasaan yang berbeza iaitu mempunyai kelebihan untuk merawat pesakit dan menghasilkan kek. Kedua-duanya memberi kepuasan kepada diri saya,” katanya.
Dia turut ditanya sama ada ingin meninggalkan dunia pergigian dan memberi fokus sepenuhnya terhadap Sweetoothache.
“Mari kita lihat bagaimana perjalanan saya selepas ini,” katanya sambil tersenyum.
Untuk memenuhi keinginan anda merasai pelbagai makanan pencuci mulut, apa kata lihat laman Facebook, Instagram Sweetoothache atau anda boleh WhatsApp di talian 012-692 4481.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]