
Cuba anda perhatikan betul-betul. Ia mungkin kelihatan seperti imej gambar yang dibidik jurugambar profesional.
Namun, jangan tertipu. Ia sebenarnya adalah lukisan berkonsepkan realistik yang dihasilkan oleh pelukis berasal dari Ukraine, Sergey Piskunov.
Pelukis berusia 31 tahun itu sempat berkongsi beberapa hasil lukisannya yang mengambil masa kira-kira 400 jam untuk disiapkan.
Menurutnya, dia mula melukis 11 tahun lalu selepas menerima hadiah kanvas dan beberapa berus lukisan.

Piskunov berkata, semuanya dipelajari sendiri dan dia lebih mengkhususkan kepada lukisan bertemakan wanita serta gambar wajah manusia dari jarak dekat.
Dia juga sering melukis dalam keadaan kanvas yang terbalik untuk memberinya satu perspektif lain.
“Saya mula melukis 11 tahun lalu ketika berusia 20 tahun. Ia selepas saya menerima kanvas pertama dan beberapa berus lukisan sebagai hadiah. Sejak itu, saya hanya menghabiskan masa lapang untuk melukis.
“Proses bermula dengan mencari idea selepas melakukan sesi fotografi untuk mencari imej rujukan. Saya menghabiskan masa antara 200 hingga 400 jam untuk menyiapkan satu lukisan,” katanya.

Salah satu lukisan menakjubkan dihasilkan pelukis itu ialah potret wanita menampal masker muka yang kelihatan ‘hidup’ dengan kesan tiga dimensi.
Satu lagi lukisannya ialah titisan air pada buah beri biru yang begitu realistik.
“Ketika melukis, saya sering menterbalikkan kanvas itu supaya lebih mudah untuk menyiapkannya.
“Bagi saya, kedudukan kanvas tidak begitu penting kerana saya sering melihatnya dari pelbagai sudut ketika proses menghasilkannya,” kata Piskunov.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]