Akaun palsu guna imej Tengku Permaisuri Norashikin

Akaun palsu guna imej Tengku Permaisuri Norashikin

Pejabat Sultan Selangor buat laporan polis selepas akaun palsu itu dikesan di TikTok.

Gambar Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin didakwa dimanpulasi menggunakan AI. (Gambar Pejabat Sultan Selangor)
SHAH ALAM:
Pejabat Sultan Selangor membuat laporan polis berhubung kewujudan akaun palsu di aplikasi TikTok didakwa memanipulasi serta menyalahgunakan gambar Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI).

Menurut hantaran Facebook rasmi Selangor Royal Office, akaun palsu berkenaan turut dikesan menggunakan gambar beberapa individu dan tokoh lain, dipercayai bagi tujuan penipuan.

“Orang ramai dinasihatkan supaya berwaspada dengan kewujudan akaun-akaun palsu seumpamanya di laman media sosial, selain sentiasa memastikan kesahihan maklumat sebelum mempercayainya bagi mengelak menjadi mangsa penipuan,” menurut hantaran itu.

Selangor Royal Office turut menasihatkan orang ramai agar segera melaporkan kepada pihak pengendali aplikasi sekiranya mengesan akaun mencurigakan.

Sementara itu, Ketua Polis Shah Alam, Mohd Iqbal Ibrahim, mengesahkan pihaknya menerima laporan daripada Istana Selangor berhubung perkara berkenaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.