
Sejenis udang krai spesis mutan yang tidak wujud kira-kira 25 tahun lalu, marmokreb atau ‘marbled crayfish’ dikenali sebagai salah satu hidupan yang paling cepat membiak di dunia kerana keupayaan menjadi klon.
Kewujudan spesis ini bermula sejak pertengahan 1990-an apabila seorang warga Jerman membeli udang krai besar yang dipanggil sebagai ‘Texas Crayfish’.
Dia terkejut dengan saiz udang krai berkenaan selain hidupan terbabit bertelur dengan banyak.
Lelaki terbabit mula menceritakannya kepada rakan dan memberi spesimen anak udang krai dan selepas ‘marbled crayfish’ mula dijual di kedai akuarium, satu perkara aneh berlaku.
Semua spesimen adalah betina dan ia kelihatan tidak memerlukan pasangan untuk menghasilkan jumlah telur yang banyak.
Ia terus membesar dan hanya bersedia untuk menghasilkan beratus-ratus telur pada satu masa.
Sehinggalah pada 2003, kumpulan saintis mengesahkan keupayaan spesis itu untuk menjadi klon secara berkesan dan ketika itu, crustacean tidak lagi sekadar hidupan dalam akuarium tetapi bersedia mendominasi dunia.
Jadi, tidaklah susah untuk memahami mengapa hidupan itu banyak ditemui di tasik seluruh Jerman dan seluruh Eropah.
Peminat hobi akuarium yang hanya bermula dengan beberapa spesimen kemudiannya mendapati mereka mempunyai beratus hidupan terbabit dan hanya melepaskannya ke dalam air.
Selain boleh menjadi klon, marmokreb adalah sejenis hidupan yang boleh menyesuaikan diri dengan mudah.
Tidak lama kemudian, populasi liar dilaporkan ditemui di seluruh Eropah membabitkan negara seperti Hungary,Czech Republic, Croatia dan Ukraine memandangkan hidupan menakjubkan ini boleh bergerak jauh dalam tasik dan membiak dengan banyak.
Di Madagascar, ia tiba sekitar 2007 dan kini populasinya dikatakan mencecah jutaan dan sukar untuk dikawal.
Begitu juga di Jepun dan beberapa bahagian di Amerika Syarikat seperti Michigan di mana udang krai klon diharamkan kerana risikonya terhadap hidupan liar tempatan.
Seorang pakar biologi Pusat Penyelidikan Kanser Jerman, Dr Frank Lyko memberitahu New York Times bahawa, di beberapa tasik di Jerman, spesis ini terlalu banyak apabila dia dan rakan sekerja boleh menangkap lebih 100 spesimen pada satu malam.
“Ia agak menakjubkan. Ketiga-tiga kami pernah menangkap 150 ekor dalam tempoh sejam dengan menggunakan tangan saja,” katanya.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]