Kasihnya ibu

Kasihnya ibu

Kita tidak mahu seekor lagi gajah meratapi kematian anaknya untuk kita tersentak semula.

Mohsin Abdullah

Kebetulan berlaku pada Hari Ibu. Anak gajah mati dilanggar lori di kawasan Gerik–Jeli. Si ibu meratapi kematian anaknya enggan bergerak dari tempat kejadian. Amat menyayat hati. Begitulah kasihnya ibu yang kata manusia membawa ke syurga.

Sememangnya seluruh negara dilanda kesedihan. Maka timbul persoalan ‘what now?’ Timbul gesaan tindakan segera perlu demi melindungi hidupan liar. Bagaimanapun aktivis kebajikan haiwan Lee Lam Thye menyatakan kemalangan membabitkan anak gajah bukan saja menyebabkan kehilangan hidupan liar yang berharga tetapi juga mendatangkan risiko besar kepada pemandu yang boleh mengakibatkan kecederaan malah kematian.

Benar tetapi yang kita selalu baca juga ialah laporan membabitkan bukan hidupan liar. Umpamanya laporan penunggang motosikal khususnya terkorban apabila terlanggar atau cuba mengelak anjing atau lembu yang melintas jalan.

Apa pun Lee menggesa tindakan segera pihak berkuasa bagi melindungi hidupan liar dan pengguna jalan raya. Antara cadangan beliau ialah membina jejantas atau laluan bawah tanah di kawasan dikenal pasti terdapat aktiviti hidupan liar terutama berhampiran kawasan hutan.

Mengenal pasti kawasan aktiviti hidupan liar memang boleh dilakukan. Pakar hidupan liar pula memang boleh sedikit-sebanyak menunjukkan lokasi di mana hidupan liar gemar menyeberang jalan berdasarkan kajian mengenai kelakuan haiwan. Tetapi tidak ada jaminan haiwan akan menyeberang jalan di tempat yang difikir afdal. Manusia pun sering tidak menggunakan ‘designated areas’ untuk melintasi jalan. Namun, sering juga haiwan lebih bijak daripada manusia.

Kata Lee, lintasan (untuk haiwan) perlu direka berasaskan corak pergerakan spesies seperti tapir, gajah dan haiwan lain yang terancam. Beliau turut mahu pihak berkuasa mempertimbnagkan memasang pagar di sepanjang lebuh raya bagi menghala haiwan ke tempat lintasan. Cadangan bagus.

Kata wartawan veteran A Kadir Jasin sejak 2020 sebanyak lapan gajah, 112 tapir dan enam harimau dilapor mati dilanggar di jalan raya. Termasuk haiwan lain bilangannya 2,361 ekor antara 2020 dan 2024. Perangkaan besar dan menyedihkan.

Lalu Kadir memohon pihak berkuasa laksanakan beberapa langkah yang beliau kemukakan. Antaranya membabitkan Laluan Rel Pantai Timur atau ECRL. Beliau mencadangkan pagar yang kukuh didirikan bagi mengelak pencerobohan oleh manusia dan haiwan khususnya ‘protected wildlife’.

ECRL, kata beliau melintasi banyak biosfera Orang Asli dan haiwan liar. Oleh itu, langkah keselamatan ketat wajib diwujudkan supaya tidak menghalang dan membahayakan pergerakan dalam biosfera terbabit. Bagi saya cadangan yang harus diberi perhatian atau lebih baik jika dilaksanakan.

Kadir turut mencadangkan penggunaan kereta api diwajibkan untuk mengangkut barangan berat jarak jauh. Penggunaan lori kata beliau wajar dihadkan kepada pengangkutan setempat atau ‘localised transportation’.

Cadangan ini jika dilakukan hampir pasti akan dibantah syarikat pengangkutan besar yang menggerakkan lori besar milik mereka merentasi seluruh negara. Wallahuaklam.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad, menyarankan kerjasama erat kerajaan pusat dan negeri untuk usaha menyelesaikan konflik antara manusia dan gajah (atau hidupan liar keseluruhannya). Habitat utama hidupan liar terletak bawah bidang kuasa kerajaan negeri, kata beliau.

Kata Nik Nazmi lagi, pemeliharaan habitat gajah dan jaminan pergerakan selamat merentasi kawasan hutan memerlukan pembangunan koridor ekologi dan kawasan perlindungan khas.

Justeru. kata beliau langkah itu memerlukan perancangan guna tanah yang terkoordinasi melibatkan semua peringkat kerajaan dan pihak berkepentingan.

Jelas, apa yang perlu dilakukan sudah diketahui. Perancangan sudah ada. Yang wajib sekarang ialah ‘commitment to see it through’.

Wartawan dan penggiat media sosial pula harus memantau, menegur dan mengingatkan. Yang tidak kita mahu ialah apabila kesedihan kisah anak gajah mati dilanggar mula reda, semangat memperjuangkan hidupan liar turut reda dan terus layu. Kita tidak mahu seekor lagi gajah meratapi kematian anaknya untuk kita tersentak semula.

 

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.