Kerajaan Sabah pastikan hutan diurus dengan mampan

Kerajaan Sabah pastikan hutan diurus dengan mampan

Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan BN di peringkat DUN, berkata berkat kerajaan negeri juga memperkenalkan pelbagai strategi mencapai tadbir urus hutan baik.

Abdul-Rahim
Gambar Facebook
KOTA KINABALU:
Kerajaan Sabah komited memastikan penggunaan sumber hutan di negeri ini selaras dengan prinsip pengurusan hutan mampan.

Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Barisan Nasional (BN) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, Datuk Seri Abdul Rahim Ismail berkat kerajaan negeri juga memperkenalkan pelbagai strategi untuk mencapai tadbir urus hutan baik.

“Kita mempunyai dasar kukuh bukan sahaja mengenai hutan tetapi pemuliharaan hidupan liar, ini menunjukkan keseriusan kerajaan negeri dan komitmen sebenar dalam perkara ini,” katanya.

Abdul Rahim yang juga bekas pegawai hutan di Jabatan Perhutanan berkata pelaksanaan Kawasan Dilindungi Sepenuhnya (TPA) di Sabah baik untuk mencapai sasaran jangka panjang sebanyak 30% TPA di negeri ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai surat terbuka 16 badan bukan kerajaan (NGO) berasaskan alam sekitar, kepada parti politik supaya memasukkan aspirasi alam sekitar dalam manifesto parti masing-masing pada pilihan raya umum ke-14 nanti.

“Saya hormati kebimbangan mereka (NGO) mengenai isu alam sekitar dan saya fikir ia baik untuk kita kerana mengambil langkah proaktif memastikan sumber semula jadi Sabah dianggap warisan semula jadi.

“Pada Persidangan DUN November 2016, Ketua Menteri Tan Sri Musa Aman menyatakan pertambahan 95,538.57 hektar ke jaringan TPA di Sabah, menjadikan jumlah keseluruhan 1,874,061 hektar atau kira-kira 26% kawasan tanah Sabah.

“Ini termasuk kawasan hutan simpan di Ulu Segama-Malua, Kuamut, Lembah Danum, Imbak Canyon dan Maliau Basin,” katanya.

Abdul Rahim yang juga Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Sabah (SLDB) berkata contoh ikonik usaha pemuliharaan hutan Sabah ialah Projek Pengurusan Hutan Mampan Ulu Segama-Malua (USM-SFMP), meliputi kawasan 241,098 hektar.

“Ia projek kerajaan negeri dan diuruskan bersama Jabatan Perhutanan Sabah dan Yayasan Sabah untuk pemuliharaan dan pemulihan habitat hidupan liar terancam,” katanya.

Menurut Abdul Rahim, kawasan itu berulang kali ditebang sejak 1960-an hingga Disember 2007 dan pada 2014, Hutan Simpan Ulu Segama-Malua diwartakan Hutan Simpan Kelas 1 (Perlindungan).

“Hutan Simpan Ulu Segama-Malua kini semakin pulih daripada kemusnahan dan pembalakan tidak terkawal, kebakaran hutan dan pencerobohan pada masa lepas,” katanya.

Abdul Rahim berkata, yang penting sekarang, keperluan untuk meningkatkan strategi penguatkuasaan dalam melindungi bukan sahaja sumber hutan, tetapi hidupan liar.

“Ia juga penting untuk meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai kepentingan pengurusan hutan mampan, kerana dasar kukuh semata-mata tidak akan mampu bertahan tanpa penyertaan orang ramai,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.