Moonflower berbunga

Moonflower berbunga

Saat menakjubkan itu disiarkan secara langsung di internet dengan lebih 400,000 penonton, menyaksikan bunga yang hanya berkembang 12 jam sekali setiap tahun itu berbunga.

Moonflower sedang berkembang. (Gambar: Cambridge University Botanic Garden)

Satu kaktus Amazon jarang ditemui yang dikatakan hanya berbunga setahun sekali untuk tempoh 12 jam, sekali lagi mengeluarkan bunga kali pertama di United Kingdom, baru-baru ini.

Kejadian menakjubkan itu sekali gus mencuri perhatian ratusan ribu pengguna Internet yang menyaksikannya secara langsung di atas talian.

Moonflower (Selenicereus wittii) adalah kaktus aneh mempunyai batang leper yang tumbuh melingkari pokok lain seperti reben.

Ia tumbuh di kawasan hutan hujan di Brazil dan hanya berbunga pada satu malam setiap tahun selain proses itu disaksikan oleh sekumpulan peminat saja.

Pada 20 Februari lalu, moonflower di Taman Botani Universiti Cambridge (CUBG) berbunga dan proses itu berjaya dirakam buat pertama kalinya.

Ia disaksikan lebih 400,000 pengguna Internet menerusi siaran langsung yang ditonton di lama web CUBG dan YouTube, lapor BBC.

“Kami berasa teruja. Aktiviti menanam pokok biasanya tidak mendapat perhatian dan liputan seluas ini,” kata penyelia rumah hijau CUBG, Alex Summers.

Ia memberi peluang kepada sekumpulan saintis yang melakukan cubaan pendebungaan untuk membolehkan ia berbunga lebih banyak lagi pada masa depan.

Moonflower itu dimiliki CUBG sejak 2015 dan ia tumbuh melingkari pokok buah berangan di rumah hijau tropika.

Namun, rumah hijau itu ditutup untuk kerja pengubahsuaian ketika Covid-19 menyebabkan pekerjanya berkongsi saat bermakna itu secara langsung dari atas talian.

“Jika membabitkan spesis ini, kami mungkin satu-satunya yang berjaya membuat rakaman ia berbunga,” kata Summers.

Siaran langsung itu bermula pada 9 Februari selepas ia mula mengeluarkan tunas dengan panjang sehingga 20 sentimeter.

Saintis di CUBG percaya ia akan berbunga selepas itu namun ia berhenti pada 28 sentimeter dan 11 hari kemudian ia mula berbunga.

Bunganya mula berkembang pada jam 3 petang (waktu di UK) yang tidak dijangkakan sama sekali kerana moonflower selalunya berkembang pada waktu malam.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.